Dituduh Terima Dedak, Ini Penjelasan Mursyidul Am



13 NOV : Selepas dituduh menjadi pemakan dedak, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin tampil menjelaskan mengapa parti Islam tersebut tidak hadir ke Konvensyen Pakatan Harapan semalam yang menjadi punca Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan sedemikian.

pas-lasakHashim berkata itu sekadar pandangan Dr Mahathir tapi PAS juga ada pendirian sendiri yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Itu pandangan dia (Dr Mahathir), saya ada pandangan saya sendiri. Tidak semestinya PAS kena ikut apa Dr Mahathir kata sebab saya sendiri ada jalan yang tersendiri,”

“Kalau mahu lihat perkara sebenarnya, kita lihat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Taman Medan, Petaling Jaya pada Ahad.

Semalam, Dr Mahathir berkata mana-mana pihak yang memusuhi gabungan pembangkang itu boleh dianggap sebagai penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya sikap berkenaan juga mungkin menjadi petanda bahawa pihak terbabit sudah mendapat “dedak” daripada Najib.

“Dedak” adalah istilah dipopularkan Dr Mahathir dan penyokongnya yang merujuk kepada pemberian didakwa diberi Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan.

Sementara itu, Hashim juga menegaskan pendirian mereka untuk berbincang dengan mana-mana pihak – termasuk UMNO – kerana ia dibenarkan Islam.

Bagaimanapun menurut Hashim tidak ada mana-mana boleh menuduh mereka ingin menyertai parti itu.

“Dalam Islam walaupun dia itu musuh, agama tak larang (kita) berjumpa dan berbincang.

“Jadi, sekarang ini dia (UMNO) nak bincang dengan kita. Apa-apa persoalan kita sedia dengar dan dia (Umno) juga patut sedia dengar apa yang kita nak kata dan (kemudian) kita pertimbanglah.

“Tapi jangan tuduh PAS masuk BN (Barisan Nasional), yang itu kami dah buat keputusan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.