Surat Mufti Wilayah Kepada Ustaz Zamihan



DASAR KETERBUKAAN PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk perbincangan dan diskusi yang boleh membuahkan manfaat kepada umat Islam dan seluruh masyarakat Malaysia secara amnya.

2. Kebelakangan ini, kami mendapati ada beberapa kenyataan daripada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain berkenaan kami yang seakan tersasar daripada maksud sebenar yang ingin kami nyatakan. Malah, ianya langsung tidak menggambarkan pendirian kami dalam isu-isu tersebut. Sebagai contoh kenyataan bahawa "Mufti mengharamkan untuk membaca Surah al-Fatihah selepas solat" di sini https://goo.gl/RMwQag. Kami dapati, ianya berpunca daripada 2 faktor terbesar:

a. Tidak membaca keseluruhan artikel yang kami keluarkan.
b. Hanya bergantung kepada sebaran di media sosial semata-mata.

Kami akan jawab salahfaham beliau dengan tuntas sebentar lagi di web rasmi.

3. Dengan ini, kami mempersilakan kepada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain untuk datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi merungkai salahfaham dan isu-isu yang dibangkitkan, yang sedikit sebanyak mencalarkan imej kami selaku Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain boleh menghubungi Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, Penolong Mufti (Istinbat) di talian 03 8870 9118 untuk tujuan temujanji. Pegawai-pegawai di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan amat berbesar hati menerima kehadiran Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain.

4. Tidak ada apa yang kami ingin capai daripada pertemuan ini melainkan keharmonian dan solusi bagi salahfaham ini. Kami amat tidak selesa jika kemelut ini berpanjangan dan mengeruhkan hubungan sesama Muslim. Dalam masa yang sama, kami berpegang kepada prinsip dan paksi kebenaran serta sedia menarik sebarang kenyataan kami sekiranya dapat dibuktikan salah. Kami menjunjung prinsip yang ditegaskan oleh Saidina Umar al-Khattab:

الرجوع إلى الحقّ خير من التمادي في الباطل
Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan terus tetap atas asas kebenaran dan tidak ada masalah untuk terus menghormati pandangan yang berbeza atas masalah ijtihad.

5. Akhir sekali, kami dengan rendah diri memohon maaf kepada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain sekiranya terdapat tutur kata kami yang mungkin mengguris hati dan terkasar bahasa. InsyaAllah, kita doakan pertemuan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

*Gambar ini ketika Seminar berkenaan Jihad dalam Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada bulan Mac 2015

No comments

Powered by Blogger.