Siti Aafiyah belum ada Instagram
Lebih 10 akaun palsu guna nama anak Siti Nurhaliza didaftarkan Ahad lalu
Nor Eryani Yusup
27 Mac 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR – Tidak sampai lima minit selepas mengumumkan nama puteri sulungnya malam kelmarin, terdapat lebih 10 akaun Instagram yang wujud menggunakan nama anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Siti Aafiyah.
Antaranya menggunakan nama @sitiaafiyah_, @sitiaafiyahkhalid_official, @sitiaafiyahctdk_, @sitiaafiyah.official, @sipipimerahcomel dan @sitiaafiyah.khalidjiwa.
Bagaimanapun, pelantun lagu Segala Perasaan itu memberitahu beliau belum terfikir untuk mencipta akaun Instagram puterinya kerana mahu bayinya melalui kehidupan normal.
“Sebelum ini pun sudah ada peminat mencipta akaun menggunakan nama Fatimah Az-Zahra. Insya-Allah saya akan umumkan kepada semua jika sudah ada akaun rasminya kelak,” katanya pada majlis tahnik dan akikah anaknya kelmarin.
Sementara itu pengurus penyanyi tersohor itu, Rozi Abdul Razak menegaskan bahawa kesemua akaun yang wujud adalah palsu kecuali satu akaun bernama @aafiyahkhalid yang dikelolakan oleh anak tiri Siti, Asyraf Khalid.
“Akaun @aafiyahkhalid itu pun merupakan inisiatif daripada Asyraf,” katanya yang dihubungi Kosmo!semalam.
Siti Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu pada pukul 8.17 pagi di Pusat Perubatan Gleneagles, Jalan Ampang di sini.
Sebelum ini, kehadiran bayi perempuan itu dalam hidup Siti yang menanti selama 11 tahun untuk dikurniakan cahaya mata diberi gelaran nama Fatimah Az-Zahra sementara nama sebenar diumumkan pada hari ketujuh kelahirannya.
Pasangan itu memilih nama Siti Aafiyah yang mempunyai maksud segala kebaikan.
No comments
Post a Comment