Wanita pertama didenda kerana berpurdah

INDIVIDU yang memakai purdah di tempat awam di Denmark akan didenda 1,000 kroner (RM634). Foto EPA


WANITA berusia 28 tahun menjadi individu pertama didenda di Denmark kerana melanggar undang-undang negara itu yang melarang pemakaian purdah di tempat awam.

Pegawai polis bertugas, David Borchersen memberitahu agensi berita Ritzau, polis dipanggil untuk meleraikan satu pergaduhan membabitkan dua wanita di sebuah pusat beli-belah di Horsholm, timur laut Nordsjaelland.

Difahamkan pergaduhan bermula apabila wanita berpurdah itu cuba mempertahankan diri dari membiarkan purdahnya ditarik seorang wanita lain.

“Semasa pergaduhan itu, purdah itu tertanggal namun apabila kami sampai ke lokasi kejadian, wanita terbabit sudah memakainya semula,” kata Borchersen.

Polis mengambil gambar wanita berpurdah itu selain turut mendapatkan rakaman dari kamera keselamatan pusat beli belah terbabit.

Wanita itu kemudiannya diberitahu akan didenda 1,000 kroner (RM634) dan diberi pilihan sama ada menanggalkan purdah atau meninggalkan premis berkenaan.
“Beliau memilih untuk meninggalkan pusat beli-belah itu,” kata Borchersen lagi.

Bermula 1 Ogos, individu yang mengenakan purdah di kawasan awam akan dikenakan denda 1,000 kroner (RM634) manakala denda untuk kesalahan berulang boleh mencecah sehingga 10,000 kroner (RM6,359).

No comments

Powered by Blogger.