SENARIO POLITIK AWAL TAHUN 2019
Pasca Perhimpunan Agung PPBM, Tun M menunjukkan wajah sebenar PPBM yang selama ini didiamkan, iaitu sebagai pengganti UMNO bagi bangsa Melayu. Laungan klasik survival Melayu & Islam, kembali digemakan.
Sudah pasti aspirasi nasionalis Melayu PPBM yang kelihatan saling tidak tumpah seperti UMNO, cukup mengancam pembawakan liberal tulen PKR & DAP yang kerap liar mencuit sensitiviti masyarakat Malaysia. Gaya PPBM hari ini saling tidak tumpah seperti UMNO ketika mereka sedang berkuasa dahulu.
Secara logiknya selepas ini, laungan 'Melayu Islam' UMNO akan dilihat tidak laku lagi kerana premis tersebut telah diambil alih oleh PPBM yang dilihat lebih berpotensi. Relevansi kewujudan UMNO sebagai pembela bangsa, boleh dipertikaikan oleh orang Melayu sendiri.
Dengan kemasukan bekas-bekas UMNO ke dalam PPBM, mengukuhkan lagi blok Tun M sebagai PM. Jika Tun M tidak kekal sebagai PM pun, beliau amat berkuasa untuk menentukan siapa penggantinya selepas ini.
Anwar pula terpaksa melalui jalan sukar untuk menjadi PM ke 8. Apabila mutakhir ini, serangan ke atasnya telah dilancarkan secara terbuka oleh blok Azmin dari dalam PKR sendiri. Dengan senario ini, kredibilit Anwar terjejas.
Azmin didapati mewarisi sebahagian gaya politik Tun M, iaitu senyap dan pandai memanfaatkan kesempatan. Lihat sahaja bagaimana beliau memposisikan diri hingga boleh menjadi MB Selangor.
Dari parti kecil dalam PH, kini PPBM menjadi king maker yang sebenar. Silent & deadly, itulah Tun M. Kesemua parti-parti komponen PH kini berjaya dikunci oleh politikus veteran tersebut. Apa pun, pergelutan politik ini tidak mendatangkan hujan emas buat rakyat. Sebaliknya hanya perebutan kuasa atas nama rakyat.
Abdul Mu'izz Muhammad
2 Januari 2019.
No comments
Post a Comment