Waris Ganti Akan Ditentukan Selepas Perbincangan Keluarga – Sultan Abdullah



Waris Ganti Akan Ditentukan Selepas Perbincangan Keluarga – Sultan Abdullah

POSTED JANUARY 15, 2019 LPBERNAMARADIO


PEKAN, 15 Jan (Bernama) – Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah Waris Ganti untuk memegang jawatan Pemangku Raja Pahang akan ditentukan baginda selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga.

Sultan Abdullah bertitah walaupun semua pihak dapat meramalkan siapa yang bakal dilantik, namun baginda memerlukan masa untuk menetapkannya sebelum mengumumkannya dalam tempoh terdekat.
“Saya percaya semua lebih kurang dah boleh ramal kalau ikut tradisinya…cuma nak tetapkan, nak menyakinkan diri saya dulu barulah boleh nak diputuskan dan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Beliau kini (Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) kini dalam latihan (ketenteraan) di UK (Akademi Tentera Diraja Sandhurst)… tidak ada masalah, beliau berkirim salam kepada semua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahandanya Sultan Ahmad Shah dan ia dilakukan mengikut Perkara 9A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang (Bahagian Satu) yang memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta dari raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat.

Baginda akan memakai gelaran rasmi sebagai Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

Tengku Hassanal kini berada di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selepas mendaftar masuk ke akademi berkenaan pada 7 Jan lalu.

Putera sulung kepada Sultan Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu bakal menghabiskan tempoh masa setahun di akademi berkenaan.

Mengulas berkenaan pemasyhuran baginda pada hari ini, Sultan Abdullah sekali lagi melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Sultan Ahmad Shah, paduka kekanda dan adinda serta seluruh rakyat Pahang.

“Ini adalah satu hari yang cukup besar ertinya dan saya dapat menunaikan tugas…amanah ini dengan sebaik mungkin dan saya akan beri segala jiwa, raga dan nyawa (serta) masa untuk negeri Pahang.

“Insya-Allah…dan sama-samalah berdoa agar kita semua dirahmati Allah, terima kasih kepada semua pihak media yang telah memberi banyak liputan hari ini dan pemasyhuran saya,” titah baginda.

Ketika ditanya adakah baginda bersedia memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah bertitah tidak mahu terus membuat kesimpulan dan akan menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja membuat keputusan kerana yakin mereka akan membuat keputusan yang bijak.

“Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja, saya mudah didekati…saya sanggup dan bersedia untuk berkhidmat. Harap mereka (Majlis Raja-Raja) dapat memilih orang yang tepat dan membuat keputusan yang betul.

“Jika sudah ditakdirkan saya di situ, saya pasti di situ (menjadi Yang di-Pertuan Agong), semuanya di tangan Tuhan dan tidak sesuai untuk saya bercakap lebih,” titah baginda.
— BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.