Polis melampaui batas sabotaj program kerajaan negeri: Dr Xavier

SHAH ALAM 28 Jan. - Tindakan polis mengarahkan kerajaan negeri Selangor merobohkan pentas yang telah disiap-dibina untuk menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves amat mencurigakan.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Keiskinan dan kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata pihak polis telah melampaui batas dan berkemungkinan besar menjurus kepada lawatan Perdana Menteri Najib Abdul Razak esok.

Beliau bersama-sama ADUN Batu Caves Amirudin Shaari bergegas ke lokasi untuk meninjau perbuatan polis ini, meminta penjelasan namun polis enggan bekerjasama.

“Kita telah angkat program ini di laman sesawang kerajaan negeri, promosi besar-besaran telah dibuat, ribuan pengunjung tahu akan program ini. Selepas perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai, mengapa disaat-saat akhir polis mahu berhentikan acara ini,” kata Xavier.

Sambutan Thaipusam ini adalah sebahagian dari program pelancongan Selangor Shines yang diusahakan kerajaan negeri bersama Tourism Selangor dan syarikat telekomunikasi Digi.

Jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk menjayakan program Selangor Shines dalam usaha menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

Sambutan mesra rakyat kerajaan negeri sempena Thaipusam telah dirancang sejak tiga minggu lalu bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang, penduduk dan pihak keselamatan.

TV Selangor juga difahamkan bahawa penganjur telah menjemput artis dalam dan luar negara dan mereka telahpun bersiap-sedia untuk beraksi di pentas ini.

Sementara itu, portal The Malaysian Insider melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pentas konsert itu didirikan di atas kawasan untuk kenderaan-kenderaan polis.

Khalid berkata polis tidak membantah sekiranya pentas ini diadakan di lokasi berbeza.

Beliau turut berkata alasan ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita telah pun rancang program ini bersama-sama barisan penganjur, dan Majlis Perbandaran Selayang tiga minggu sebelum Thaipusam. Dalam masyuarat itu, pihak polis telah tunjukkan penempatan unit polis sepanjang acara Thaipusam. Pihak MPS telah meluluskan tempat ini untuk acara kerajaan negeri, dan saya bersama-sama polis telah melawat lokasi ini,” jawab Xavier.

Xavier menjelaskan tapak dan waktu yang dipilih untuk menganjurkan pesta Thaipusam ini tidak bercanggah dengan aturcara Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Bahkan sekiranya Najib turut melawat pesta ini, kerajaan negeri akan mengalu-alukan kedatangan beliau sebagai tetamu kehormat.

No comments

Powered by Blogger.