Rakyat sanjung tinggi Pemangku Raja Kelantan, kata MB

KOTA BAHARU, 30 Mac — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata rakyat menyanjung tinggi Pemangku Raja Kelantan yang menunjukkan sifat yang terpuji sebagai pemerintah.

Beliau berkata sejak dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lepas, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah memberikan nasihat yang berguna kepada rakyat dan kerajaan negeri.

“Tuanku pernah menjadi imam solat hajat dan sikap tuanku yang sangat memberikan perhatian kepada rakyat membuatkan tuanku begitu dekat di hati rakyat,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan taat setia dan tahniah kepada Tengku Muhammad Faris atas pelantikan baginda sebagai Pemangku Raja Kelantan bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat pada istiadat penganugerahan gelaran, darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri daripada Pemangku Raja Kelantan di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Katanya beliau dan rakyat turut mendoakan agar Sultan Kelantan cepat sembuh daripada kegeringan.

Nik Aziz (gambar) berkata jawatan yang tinggi boleh diibaratkan seperti nakhoda yang mengemudi sebuah kapal yang besar yang tentu akan menghadapi banyak dugaan.

“Kapal yang besar mesti sarat dengan muatan dan lautan yang dalam dilayarinya. Tetapi sekiranya nakhoda bijak mengendalikannya maka muatan akan tersusun rapi dan kapal akan selamat ke destinasinya. Maka nakhoda tentulah memerlukan awak-awak yang ikhlas dan jujur,” katanya.

Pada istiadat hari ini, Nik Aziz mendahului senarai 84 penerima gelaran dan darjah kebesaran Kelantan dengan menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima lain ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria (Datuk Lela Negara); Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Datuk Che Yusoff (Datuk Bentara Luar)dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja).

Secara keseluruhannya seramai 639 orang dianugerahkan gelaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan.

Selebihnya akan menerima anugerah masing-masing pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak Istana Kelantan.

Pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60 yang disambut hari ini dan esok yang merupakan cuti umum di negeri ini, seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja. — Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.