Cek Najib kepada SJKC Rasa Tidak Jejas Peluang Pakatan di Sibu

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM, 29 April : Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak hairan malah menganggap penyerahan cek kepada sekolah Kebangsaan Cina(SJKC) Rasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai patut menerima bantuan tersebut.

"Semakin kuat penolakan kepada Umno-BN, semakin banyak peruntukan yang akan dibawa turun oleh Umno-BN. Bila kita lihat kawasan yang 90 peratus sokongan kepada BN, maka kawasan itu sudah pasti akan diabaikan. Sebab BN rasa tempat itu adalah kubu mereka, jadi mereka tak buat kerja disitu.

"Jadi mereka (pengundi) akan mendapat faedah sekalipun mengundi parti pembangkang," katanya.

Ketika ditanya mengenai usaha Pakatan Rakyat untuk menawan Parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 16 Mei nanti, beliau optimis dengan peluang Pakatan Rakyat di Sarawak.

"Kita akan meningkatkan usaha bagi membawa isu-isu dan maklumat kepada rakyat agar mereka faham mengenai peranan dan hak mereka sebagai

rakyat Malaysia dan
juga tawaran Pakatan Rakyat kepada para pengundi di Parlimen Sibu," kata beliau.

Tian berpandangan bahawa kumpulan etnik atau kaum tertentu bukanlah asas utama sokongan atau penolakan kepada mana-mana parti politik. Tetapi kefahaman terhadap isu semasa, selain pengetahuan hak mereka sebagai warga dan pendidikan politik akan mempengaruhi keputusan mereka untuk memilih parti yang akan mewakili mereka.

"Contohnya warga Felda yang tiada akses kepada maklumat dan tinggal dalam persekitaran yang terkongkong menyebabkan pemahaman dan pengetahuan mereka agak singkat. Mereka juga mudah terpengaruh dengan dakyah dan pandangan yang bersifat sebelah pihak.

"Ini berbeza dengan masyarakat yang tinggal di bandar yang mana kemudahan untuk mendapatkan maklumat adalah lebih mudah," Pengarah Strategik KEADILAN itu lagi.

Pada pandangan beliau, selain dari pengaruh media dan maklumat, latar belakang ekonomi dalam masyarakat turut mempengaruhi pemikiran dan perkiraan politik mereka.

"Mereka yang 'independent' dan kurang bergantung kepada pihak kerajaan akan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan citarasa politik. Mereka sukar diugut dan ditekan seperti masyarakat Felda dan Orang Asal," katanya.

No comments

Powered by Blogger.