Melerai rasa tidak puas hati pengundi Cina terhadap BN — Jamhariah Jaafar

30 APRIL — Agak aneh apabila parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA membidas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, yang dianggap sebagai penyebab kepada pengundi Cina pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, tidak mengundi calon BN.

Hakikatnya, sejak awal lagi pengundi Cina sudah membuat keputusan untuk “mengajar” BN terutama Umno, yang dianggap masih ekstrem dalam memelihara hak-hak keistimewaan bangsa Melayu walaupun ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjulang slogan 1 Malaysia.

Sikap majoriti pengundi Cina yang condong kepada pembangkang amat terserlah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, sehingga MCA sendiri gagal mendapat sokongan padu ahlinya sendiri.

Kemelut dalaman MCA yang baru berakhir dua tiga minggu lalu juga tidak membantu BN untuk menyemarakkan semula semangat sayangkan BN, kerana majoriti penduduk Cina di Malaysia hari ini semakin lantang menuntut hak sama rata dengan rakyat pribumi.

Malah, ramai semakin lantang mendesak konsep 1Malaysia yang menjadi amalan kepemimpinan BN hari ini, dilaksanakan bersandar pada kesaksamaan, bukan lagi kepada Perlembagaan Persekutuan seperti ditegaskan Perdana Menteri.

Justeru, apabila Naib Presiden MCA, Gan Peng Sieu, membidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai Melayu ‘ultra’ dan kenyataan kerasnya membuatkan bangsa Cina kecil hati, ramai tersenyum sinis terutama mereka yang terbabit secara langsung di Hulu Selangor.

Sejak awal kempen lagi semua dapat melihat tren majoriti pengundi Cina di Hulu Selangor memang condong kepada pembangkang dan ia langsung tiada kena mengena dengan kenyataan keras Presiden Perkasa atau isu perkauman lain.

Kerana itu, amat dangkal apabila membaca artikel sebuah laman web bertajuk “The BN’s culture of ‘balas budi’” (budaya balas budi BN), apabila penulisnya berkata: “Sejak sekian lama, BN sudah menyemai perasaan di kalangan pengundi bahawa mereka perlu “balas budi” dan menunjukkan rasa terima kasih atas apa yang memang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan dan hak rakyat.”

Penulisnya berkata, pemimpin komuniti Cina dan ahli politik MCA memberi reaksi agak keras terhadap desakan Perkasa supaya “menghukum” pengundi Hulu Selangor yang tidak mengundi BN.

“Saya percaya kita akan menerima lebih banyak retorik seperti ini, tindakan menyalahkan bangsa Cina Malaysia. Mahu tidak mahu ia akan berlaku ketika kerajaan cuba menyeimbangkan antara tekanan politik dan ekonomi.

“Saya yakin pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai apa yang perlu dilakukan. Ekonomi memerlukan bebas daripada polisi tiada persaingan dan berasaskan perkauman. (Konsep) 1 Malaysia perlu direalisasikan tanpa pilih kasih perkauman,” kata penulisnya, Deborah Loh, melalui portal berita, The Nut Graph.

Penulis ini lantang meluahkan pendirian bangsa Cina lain: “Apa yang Perkasa dan ramai kumpulan konservatif dalam kerajaan gagal menyedari ialah sikap berterima kasih bukan lagi satu premis bagi BN untuk memenangi undi daripada bangsa Cina Malaysia.

“Era ‘membeli’ undi melalui janji pembangunan dan hadiah pilihan raya sudah berlalu di kalangan bangsa Cina Malaysia.”

Katanya, dari awal lagi harapan supaya rakyat berbangsa Cina berterima kasih adalah salah kerana pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan.

“Tetapi, sejak 10 pilihan raya kecil lalu, kita sudah mendengar retorik mengenai ‘rasa perlu untuk berterima kasih’. BN, yang sebelum ini dikenali sebagai Perikatan, mendapatkan kemerdekaan untuk anda. Melalui Perikatan, anda, bangsa bukan Melayu diberi kewarganegaraan kerana bangsa Melayu bersikap bertolak ansur dengan anda.

“Selepas itu, BN membina anda jalan raya, sekolah, rumah dan mencipta pekerjaan. BN turut memberi bantuan untuk kuil dan gereja, bukan saja masjid. BN memberi anda duit untuk meningkat dan membina semula sekolah Cina. Jadi berterima kasihlah. Tunjukkan terima kasih anda dengan mengundi BN sekiranya anda mahu masa depan yang terjamin,” kata Deborah yang mengaku sinis ketika menulis kenyataan ini.

Dia mengemukakan soalan, sama ada kerajaan tahu di mana hendak bermula untuk meleraikan perasaan tidak puas hati bangsa Cina Malaysia ini, serta betapa model ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) langsung tidak relevan dengan peniaga Cina Malaysia di luar bandar seperti Hulu Selangor.

Walaupun kenyataan penulis ini amat dangkal, tidak dapat disangkal ini adalah permintaan bangsa Cina Malaysia yang menganggap kerajaan BN korup, sehingga membuatkan mereka berasa tidak perlu berterima kasih kerana apa dilakukan untuk rakyat adalah tanggungjawab pemerintah.

Dalam isu perjuangan agama dan bangsa, tidak timbul persoalan siapa yang benar atau salah. Setiap bangsa bekerja keras untuk memartabatkan hak masing-masing.

Ibrahim ketika mengulasnya semalam, berkata: “Pemberian RM3 juta kepada SRJK Rasa kelmarin, begitu cepat membuktikan betapa Perdana Menteri hari ini berpegang pada janji dan amat prihatin. Luahan saya sebelum ini agar ditangguh segala janji adalah bertujuan provokasi agar mereka insaf dan sedar,” katanya.

Hakikatnya, Malaysia yang asalnya Tanah Melayu, kini dihuni rakyat pelbagai bangsa dan agama, sikap toleransi antara kaum menjadi tunjang kekuatan sebuah negara. Kewujudan BN adalah pengikat silaturahim antara semua kaum di Malaysia dan sudah membawa kita menjadi sebuah negara yang kukuh dan disegani dunia.

Tidak timbul budaya balas budi dalam isu toleransi. Persoalan yang harus dijawab oleh bangsa Melayu, Cina Malaysia dan bangsa lain - apakah kita mahu terus hidup dalam semangat setia kawan di bawah bumbung BN yang sudah terbukti dengan sikap tolak ansurnya, atau terus bergelut dengan konflik perkauman yang tidak kunjung padam. — Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.