Pertukaran pelajar rapatkan hubungan dua hala

Oleh Zahrawani Ayu

KOTA BHARU, 27 Apr – Hubungan dua hala yang dijalinkan antara Kerajaan Kelantan dengan Sumatera Barat Indonesia direalisasikan lagi dengan mengadakan program pertukaran pelajar kedua dua negeri .

Seramai 27 pelajar lelaki dari Sekolah Agama Muhammadiyah Padang Panjang Sumatera Barat telah diambil sebagai anak angkat kepada enam buah sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan ( YIK) bermula pada 26 April hingga 9.Mei ini.

Majlis penyerahan pelajar tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kediaman Rasminya semalam.

Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Exco-Exco negeri, Wakil-Wakil Rakyat , Pengarah YIK Ahmad Robert Abdul Rahim, Ketua Rombongan Pelajar Indonesia Ustaz Muslim Tawakkal.

Nik Abdul Aziz ketika berucap berkata hubungan di antara rumpun melayu sudah lama terjalin dan kebudayaan juga tidak banyak berbeza.

“saya amat mengalukan kedatangan anak-anak ini dan difahamkan ramai dikalangan mereka ini adalah anak-anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia semasa gempa bumi pada tahun lepas”katanya.

Sesungguhnya ikatan yang paling kukuh sesama mukmin ialah ikatan aqidah dan kepercayaan yang menjadikan orang-orang beriman itu satu dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa.

Segala khidmat bakti yang digembelingkan untuk meringankan bebanan kesusahan yang menimpa saudara kita, pasti akan dikurniakan dengan ganjaran oleh Allah swt.

Beliau juga berharap pelajar yang terlibat dalam program ini dapat mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat melayu di Kelantan dan menjalinkan hubungan persaudaraan dengan pelajar di negeri ini.

Sekolah yang terlibat dengan program ini ialah Maahad Muhammadi (L), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, Maahad Tahfiz Al-Quran Pasir Mas, Maahad Tahfiz Sains Berangan Tumpat dan Pondok Moden di Bachok.

Program yang diikuti ialah melalui pengajian dalam bilik darjah bersama pelajar setempat, mengikuti kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu, mengadakan lawatan ke beberapa buah pondok dan tempat bersejarah serta mengadakan perlawanan sukan persahabatan dengan pelajar YIK.

Sementara itu Ketua Rombongan Pelajar Ustaz Muslim Tawakkal melahirkan rasa gembira di atas sambutan yang begitu menggalakkan dari kerajaan negeri Kelantan terhadap rombongan pelajar dari Sumatera Barat tersebut.

“Kami amat mengenali Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan ilmu agamanya yang tinggi dan hari ini kami dapat bersama beliau secara lebih dekat lagi dan dengan kehadiran beliau sendiri dalam majlis ini ia amat membanggakan rombongan kami ”kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.