Doa untuk Guan Eng, Teo di surau: InsyaALlah ada hikmahnya!

Kontroversi yang cuba ditimbulkan UMNO daripada bacaan doa untuk Lim Guan Eng dan ucapan YB TeoNie Ching di sebuah surau seharusnya boleh menjadi rahmat kepada Malaysia jika ditangani dengan sebaiknya.

Tujuan UMNO dan aparat-aparat UMNO khususnya Utusan Malaysia memainkan isu ini sudah tentu berniat jahat dan buruk, yakni untuk mengapi-apikan sentimen dan menimbulkan kemarahan dan ketegangan kaum. Daripadanya mereka cuba meraih keuntungan politik. Ini saling tidak tumpah dengan taktik yang dipelepori oleh UMNO sehingga menyebabkan tragedi berdarah 13 Mei.

Saya percaya jika Najib yang menjadi Perdana Menteri dan bukannya Abdullah Badawi ketika BN hilang majoriti 2/3 semasa pilihanraya 2008, keadaan akan lebih kacau bilau dalam usaha beliau untuk menafikan kehendak rakyat dan memperkukuhkan kedudukan BN yang goyah.

Ini yang sebenarnya sedang berlaku kini.

Tetapi Alhamdulillah, taktik mereka tidak menjadi. Orang Melayu rata-rata (sekurang-kurangnya keluarga dan kenalan) saya dapati tidak mempunyai masalah apabila Lim Guan Eng didoakan agar mendapat hidayah. Dr. Asri dan Zaharuddin Abdul Rahman juga menulis panjang lebar mengenai keharusan perkara ini.

Beberapa ‘ulama’ UMNO yang bersifat militan sudah tentu mencemuh dan mengecam tindakan itu. Padahal mereka tahu ada hujah-hujah yang membolehkan. Ada nas dan dalil yang nyata Rasulullah sendiri mendoakan orang bukan Islam mendapat hidayah. UMNO memilih untuk memendamkan dan memadamkan hujah yang membolehkan. Kerana Islam yang itu tidak memberikan mereka keuntungan. Pada mereka Islam yang diterima hanya yang menguntungkan mereka.

Begitu juga mengenai tindakan surau di Kajang menjemput YB Teo untuk berucap di dalam dewan solat surau. Juak-juak UMNO sekali lagi cuba membakar sentimen. Apakah menjadi haram jika lawatan itu, ucapan itu adalah untuk kebaikan?

Kenapa saya mengatakan insiden-insiden ini boleh menjadi rahmat?

Selama ini UMNO cuba menggambarkan PAS sebagai bersifat militan, khususnya melalui propaganda jahat terhadap Tragedi Memali. Tetapi kini PAS ternyata mengambil sikap berlapang dada. PAS semakin bergerak ke pertengahan di dalam spektrum politik Malaysia. Sebaliknya UMNO yang semakin bergerak menjadi pelampau.

Kesediaan pemimpin-pemimpin DAP untuk berdamping dengan masyarakat Islam juga adalah petanda baik terhadap toleransi antara kaum dan agama.

Keadaan-keadaan ini akan menyediakan pemimpin-pemimpin PAS dan DAP untuk memimpin negara dan masyarakat yang majmuk. Mereka tidak lagi akan hanya memikirkan kepentingan kelompok yang diwakili mereka. Mereka tidak lagi perlu menjadi pelampau untuk memuaskan konstituensi mereka. Sebaliknya mereka akan berfikir untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Dengan cara ini propaganda dan pembohongan bahawa Islam itu keras dan militan akan ditelanjangkan. Ciri sebenar Islam yang terbuka dan adil akan menjadi jelas.

Pemimpin UMNO pula akan semakin menjadi pelampau dan militan. Akan ada kelompok yang menyokong sikap pelampau ini. Tetapi mereka adalah minoriti. Rakyat Malaysia akan mampu tangani mereka.

Berdoalah. Berusahalah. InsyaALlah ada hikmahnya!

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.