Pusat bayar bantuan khas Aidilfitri Rabu ini

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada lebih 1.24 juta petugas awam pada 1 September ini, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap sumbangan pegawai dalam pembangunan negara.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 bagi pesara yang dibayar melalui Sistem Pembayaran Melalui Bank pula akan dilakukan pada 6 September.

“Manakala bagi pesara yang dibayar melalui waran, ia akan diposkan sebelum tarikh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu berkata pegawai yang layak dibayar Bantuan Khas Kewangan adalah terdiri daripada pegawai tetap, sementara, sangkut, sambilan, ‘contract of service’, guru sandaran dan pegawai yang bercuti separuh gaji.

Selain itu, pemandu yang dilantik oleh pegawai Jawatan Utama “B” dan ke atas serta gred Khas “A” yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya juga layak mendapat bantuan ini.

“Begitu juga dengan pegawai ‘‘contract of service’’ yang putus perkhidmatannya selama satu hari sebelum disambung semula perkhidmatan kontraknya,” kata JPA.

Pegawai yang ditangguhkan pemberian bantuan khas itu adalah pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib.

Pegawai hanya layak dibayar bantuan itu sekiranya pihak berkuasa tatatertib mendapati pegawai berkenaan tidak bersalah atau pegawai hanya dikenakan hukuman amaran atau amaran keras.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

Orang ramai yang inginkan penjelasan lanjut berhubung pemberian Bantuan Khas Kewangan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, bolehlah merujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2010 bertajuk “Bantuan Khas Kewangan Tahun 2010” di http://www.jpa.gov.my.

Bagi pemberian bantuan khas kepada pesara dan penerima pencen pula, maklumat boleh diperolehi dengan melayari portal Bahagian Pasca Perkhidmatan di alamat http://www.jpapencen.gov.my. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.