Kerajaan Selangor kesal DPMMS gagal main peranan

SHAH ALAM, 31 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor ( DPMMS ) bahawa mereka telah dipinggirkan dalam pembangunan di Negeri Selangor.

Hakikatnya DPMMS sendiri telah gagal memainkan peranan selaku pertubuhan perniagaan. Kerajaan Pakatan Rakyat meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai asas pentadbiran. Pada masa yang sama, kita sentiasa melibatkan rakyat dari pelbagai peringkat untuk terbabit sama dalam merangka polisi dan dasar kerajaan negeri.

Demikian menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Faekah, sejak mentadbir Selangor, Pakatan Rakyat secara berterusan mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum apa-apa dasar atau polisi digubal.

Malah buat julung kalinya sebuah Kerajaan Negeri menganjurkan Sesi Dialog Bajet sebelum pembentangan bajet negeri dilakukan. Sesi dialog ini merupakan salah satu cara bagi mencapai hasrat kerajaan di dalam usaha merakyatkan ekonomi negeri.

Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk terlibat sama di dalam memberi pandangan bagaimana meningkatkan pendapatan negeri dan mengurus perbelanjaan berhemah.

“Kita juga menganjurkan Dialog Pelan Tiga Tahun Selangor di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mewujudkan perkhidmatan tempatan yang berkesan dan efisyen.

“Kerajaan Negeri telah menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan perniagaan untuk memberi pandangan dan cadangan sebagai nilai tambah kepada Bajet 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini. DPMMS adalah antara kumpulan perniagaan yang dijemput,” katanya.

Malangnya, menurut Faekah, DPMMS telah menolak jemputan Kerajaan Negeri. DPMMS sesungguhnya berpeluang untuk melontarkan pandangan hatta rungutan namun mereka gagal mengggunakan peluang dan cabaran yang diberikan ini atas alasan yang mereka sahaja mengetahuinya.
Justeru, rungutan DPMMS bahawa Kerajaan Negeri tidak memberi peluang kepada mereka adalah tidak berasas sama sekali. Kita sentiasa membantu semua pihak bagi menjalankan perniagaan atau memperkembangkannya tanpa unsur pilih kasih.

No comments

Powered by Blogger.