Meskipun Jeffrey gesa batal, Anwar teruskan lawatan Sabah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan programnya ke Sabah hari ini walaupun salah seorang naib presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan semalam secara terbuka menggesa agar Penasihat PKR itu membatalkan saja kehadirannya ke negeri itu.

Kehadiran Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat disahkan oleh Jeffrey dan seorang lagi Naib Presiden PKR Azmin Ali sendiri kepada The Malaysian Insider hari ini.

Semalam Jeffrey yang akhir tahun lalu ‘mengancam’ untuk keluar PKR tetapi mengubah fikiran kemudian, meminta Anwar supaya tidak turun ke Sabah kerana banyak perkara perlu diselesaikan termasuk pencalonan parti.

Beliau juga mengesahkan Anwar ada menghubunginya ekoran kenyataan terbuka semalam.

“Semalam Datuk Seri Anwar ada menghubungi saya dan cakap akan tetap berkunjung ke sini (Sabah).

“Beliau (Anwar) beritahu bahawa program-program sudah diaturkan, jadi tidak elok jika beliau tidak hadir.

“Saya tidak kisah jika beliau mahu hadir kerana itu memang kehendak beliau,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jeffrey menasihati Ketua Umum PKR itu supaya menangguhkan jadual lawatan beliau ke Menggatal, Putatan dan Papar hari ini ke satu tarikh lain.

“Saya hanya minta Anwar menangguhkan sahaja lawatan bukan membatalkan kerana banyak perkara hendak diselesaikan terutamanya pencalonan parti hari ini.

“Tapi beliau tetap mahu hadir, tidak mengapa...,” kata Jeffrey ketika dihubungi kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Menurut Jeffrey, Anwar kini dalam perjalanan ke Sabah.

“Ya, beliau (Anwar) mungkin dalam kapal terbang sekarang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penangguhan lawatan itu dibuat kerana isu penggantungan 12 ahli parti itu yang digantung selama setahun selepas mereka cuba menubuhkan sebuah parti politik baru, Parti Cinta Sabah (PCS), Jeffrey bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Tidak akan kaitan dengan isu ini, hanya kerana kita di sini sibuk dengan pencalonan sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Azmin juga mengesahkan Anwar tetap akan ke Sabah.

“Ya, saya percaya penerbangan beliau awal pagi tadi,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Jeffery membuat gesaan itu sehari selepas PKR mengumumkan keahlian 12 anggota parti itu di Sabah digantung selama setahun selepas mereka cuba menubuhkan PCS.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR mengesahkan berlaku perlanggaran disiplin parti dan badan itu mencadangkan kepada majlis pimpinan pusat supaya kesemua mereka digantung mulai Ahad ini.

Mereka adalah Daniel John Jambun, Awang Ahmad Sah, Moses @ Mozes Michael Iking, Nicholas James Guntobon, Paul Kerangkas,Slyvester @ Balon Mujim, Innocent Makajil, Nasir Samie, Harry Kujukok Manisit, Rubbin Guriban, Gosibin Yosundang dan Guandee Kohoi.

Kesemua mereka itu dilaporkan cuba membuat permohonan bagi mendaftarkan PCS dengan Pendaftar Pertubuhan pada Disember lepas selepas Jeffrey mengancam untuk meletak jawatan kerana dia tidak berpuas hati dengan ‘campur tangan’ pucuk pimpinan pusat dalam hal-hal PKR Sabah.

Beberapa pihak dalam PKR menyebut tindakan itu juga ada kaitan dengan pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Proses penamaan calon bermula semalam.

No comments

Powered by Blogger.