MP Serdang sudah serah permintaan hadap Sultan Selangor

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Ahli Parlimen Serdang yang kini berhadapan dengan kontrovesi berhubung kunjungannya ke Surau Al-Huda telah menyerahkan surat memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan dan permohonan maaf.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, Teo Nie Ching (kanan) berkata, surat tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam.

“Saya sudah serahkan surat untuk perkenan Sultan Selangor melalui Menteri Besar semalam.

“Jadi saya sedang menunggu jawapan daripada pihak istana,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut wakil rakyat penggal pertama dari DAP itu beliau beliau menerima apa-apa makluman daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sehingga kini.

“Tiada surat dan tiada panggilan telefon daripada pihak Mais lagi. Saya masih menunggu,” katanya lagi.

Mais berkata pihaknya akan menghantar surat amaran kepada Teo yang dilaporkan menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda Ahad lalu.

Kelmarin, Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berdukacita.

Beliau berkata baginda telah mengarahkan Mais supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.

Katanya, Mais sudah memanggil pengurusan surau berkenaan kelmarin untuk menjelaskan isu itu.

Majlis itu dikatakan akan mengeluarkan surat amaran kepada Teo.

Menurut Mais, tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, Teo menjelaskan, kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.

Beliau turut menyambut baik pesanan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang.

Beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz.

No comments

Powered by Blogger.