47 Peratus Pinjaman PTPTN Dikutip Semula Tahun Lepas

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Hanya RM1.51 bilion atau 47 peratus daripada RM3.19 bilion wang pinjaman yang sepatutnya dibayar balik berjaya dikutip oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Disember lepas.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sejumlah RM31.39 bilion pembiayaan keseluruhan diluluskan perbadanan itu, yang melibatkan 1.46 juta pinjaman bagi tempoh sama.

Oleh itu PTPTN diminta meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman kepada sekurang-kurangnya 70 peratus bagi tahun-tahun berikutnya, agar dana pusingan dapat terus membiayai pinjaman pelajaran yang lain.

Laporan itu juga mencadangkan beberapa aspek perlu diteliti untuk membaiki kelemahan dalam pengurusan kutipan balik wang pinjaman.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah meningkatkan keupayaan sistem komputer bagi membolehkan notis tuntutan dikeluarkan secara berkala kepada peminjam dalam masa yang sepatutnya iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Pihak audit mendapati kelewatan mengeluarkan tuntutan ini berpunca daripada pengurusan yang masih menggunakan sistem separa manual dan tidak berintegrasi dengan Education Loan Management System (ELMAS) yang digunakan.

"Perkara ini dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada 2006 tetapi kelewatan mengeluarkan notis masih berulang," kata laporan itu.

Selain itu sebarang perubahan dasar dan peraturan kutipan balik pinjaman perlu disusuli dengan pekeliling atau panduan kerja terkini bagi memudahkan pengurusan kutipan balik pinjaman dijalankan dengan teratur.

Menurut laporan itu lagi, maklumat berkaitan peminjam perlu sentiasa lengkap dan dikemaskini supaya tindakan susulan dan pemantauan ke atas peminjam boleh dilakukan dengan mudah.

PTPTN juga perlu memastikan dokumen perjanjian ditandatangani dan disimpan dengan teratur bagi memudahkan pengesanan supaya tindakan undang-undang dapat diambil kepada peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Laporan itu menyatakan bahawa perjanjian yang tidak dimeterai menyebabkan PTPTN sukar mengambil tindakan kepada peminjam yang ingkar.

Pemeriksaan audit juga mendapati dokumen perjanjian yang belum ditandatangani tidak disimpan dengan teratur yang boleh meningkatkan risiko kebakaran, kehilangan dan kecurian.

Laporan itu seterusnya mencadangkan supaya PTPTN mengkaji semula kaedah pemberian wang pendahuluan pinjaman (WPP) dan memastikan ia hanya diberi kepada pelajar yang memohon pinjaman.

Sehingga Dis 2009, 16,013 pelajar tidak memohon pinjaman PTPTN tetapi diberikan WPP berjumlah RM23.78 juta.

Bagaimanapun, PTPTN masih tidak dapat mengutip balik 3,793 daripada 3,852 sampel penerima yang berjumlah RM4.9 juta walaupun notis tuntutan dikeluarkan selepas mereka tidak membuat permohonan pinjaman dalam tempoh enam bulan dari tarikh pengeluaran WPP.

No comments

Powered by Blogger.