Keuntungan Pasir Meningkat Sejak 2005

Oleh MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM, 28 Okt- Industri pengeluaran pasir di Selangor menunjukkan bayaran royalti dan keuntungan jualan hasil mineral yang diperolehi Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) semakin meningkat kepada RM15.3 juta sejak 2005.

Kejayaan ini bukti ketelusan yang diamalkan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor dalam pentadbiran negeri berbanding era Umno-Barisan Nasional (BN).

Antara faktor penyumbang kepada keberkesanan membendung ketirisan hasil perlombongan pasir di Selangor ialah mempertingkatkan penguatkuasaan hasil usaha sama Pejabat Tanah Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTG).

Selain itu, pencabulan hasil bumi negeri berjaya dikurangkan apabila kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas dalam usaha untuk mengemas kini dan menguruskan kewangan dengan telus dan bertanggungjawab.

“Apabila penguatkuasaan dilaksanakan, pertama kita rampas mesin-mesin yang terlibat dalam pencurian, yang kedua rampas tanah yang terlibat dalam pencurian, baru pencuri pasir tidak berani melakukan perlombongan haram.

“Malah mengikut perangkaan yang dikemaskini sehingga 26 Oktober 2010, terdapat 96 tangkapan dilakukan oleh Pejabat Daerah dan juga Pejabat Tanah dan Galian Selangor,” kata Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini yang dihubungi di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media selepas Mesyuarat Exco semalam, beliau menyatakan pendapatan hasil pasir Selangor meningkat daripada RM13.76 juta pada 2009 kepada RM15.3 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Menurut Khalid, pendapatan terbabit merangkumi bayaran royalti dan keuntungan KKSB

Jelasnya KSSB memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8 juta pada tahun lepas manakala RM10.3 juta bagi enam bulan tahun ini.

Sementara itu bayaran KSSB kepada kerajaan negeri pada 2008 agak tinggi iaitu RM7.17 berbanding 2009-RM5.76 juta dan Jun 2010 RM 5 juta.

Bayaran royalti pada 2008 agak tinggi berikutan KSSB membina sebuah kolam tadahan air Wijaya Baru di Petaling melibatkan kerja-kerja pengeluaran pasir dengan bayaran royalti sebanyak RM3.1 juta.

No comments

Powered by Blogger.