Selangor Miliki Aset Air Bernilai Lebih RM10 Bilion

SHAH ALAM, 27 Okt - Pihak Jabatan Audit Negara bersetuju dengan kerajaan Selangor bahawa pembayaran hutang air tidak timbul kerana aset air yang dimiliki kerajaan negeri melebihi RM9 bilion daripada rekod asal.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, laporan Ketua Audit Negara menyatakan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat berjumlah RM829.86 juta.

Namun setelah penilaian semula aset dibuat, ternyata kerajaan negeri memiliki aset air bernilai RM10.98 bilion, jumlah yang jauh melebihi angka hutang kepada Kerajaan Persekutuan.

Tan Sri Khalid berkata, lebih 85 peratus atau RM705 juta daripada jumlah hutang kerajaan negeri melibatkan hutang air. Hutang itu sepatutnya dibayar Syabas, sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian penswastaan bekalan air Selangor di antara Syabas, kerajaan negeri dan Persekutuan apabila perkhidmatan air diambil Syabas daripada Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) pada 2003.

Menurut beliau, kerajaan negeri mendapati aset loji pembekalan dan loji pengagihan air tidak lengkap malah tertinggal dalam rekod milikan Kerajaan Negeri.

“Mulai 2008, kerajaan negeri mula membuat tindakan mengesahkan aset-aset dengan mengenal pasti lokasi dan keadaan aset tersebut.

“Dalam rekod sebelum pengesahan dibuat, nilai aset air adalah hanya RM1 bilion sedangkan perunding yang dilantik kerajaan negeri telah mengenal pasti aset air yang dimiliki kerajaan negeri bernilai RM10.98 bilion, melebihi RM9 bilion dari rekod asal,” katanya.

Tan Sri Khalid menekankan bahawa kerajaan negeri tidak berhutang kepada Kerajaan Persekutuan dalam isu penswataan air ini.

“Jika kerajaan negeri mengambil alih pengurusan air dan menyerahkan aset ini kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) yang ditubuh bawah Akta Industri Air (Akta WSIA), kerajaan negeri bukan saja dapat melangsaikan hutang tersebut tetapi menambah milikan lebih RM9 bilion.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pejabat SUK petang tadi, Menteri Besar juga menekankan penyusunan semula air perlu dilakukan segera supaya rakyat Selangor tidak dibebankan dengan tarif tinggi yang dikenakan Syabas.

Syabas didakwa ini tidak membayar satu sen pun untuk menggunakan aset kerajaan negeri yang bernilai lebih RM10 bilion.

No comments

Powered by Blogger.