Cucu Meninggal Sebelum Sempat Lawat Datuk Meninggal

KANGAR, 27 Okt (Bernama) -- Hasrat seorang pembantu cef untuk menziarahi datuknya yang meninggal tidak kesampaian apabila dia sendiri terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Bakap, Pulau Pinang pagi Rabu.

Jenazah Mohd Hermie Yahya, 22, kemudiannya turut dikebumikan di tanah perkuburan Islam Guar Kubang Paya di sini bersebelahan kubur datuknya Mat Hassan, 87.

Dia dikebumikan pada pukul 4.45 petang sementara datuknya pada 11.30 pagi.

Mohd Hermie dikatakan menunggang motosikal dari Sepang, Selangor untuk pulang ke Kampung Guar Kubang Paya apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan kira-kira 5 pagi tadi.

Kakak mangsa, Nor Azuwa Yahya, 26, berkata adiknya ingin pulang pada pukul 11 malam tadi setelah mendapat tahu datuk mereka meninggal dunia akibat sakit tua malam tadi.

"Saya mengajak arwah balik bersama saya dan meminta dia menunggu di Gombak (Selangor)," katanya yang menetap di Temerloh, Pahang.

"Bagaimanapun tidak lama kemudian, adik saya menelefon mengatakan dia tidak nampak papan tanda arah ke Gombak dan membuat keputusan untuk pulang terus ke Perlis dengan menunggang motosikalnya," katanya.

Menurut Nor Azuwa, semasa dalam perjalanan pulang, Allahyarham mengantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya memaklumkan bahawa dia sedang berhenti makan di Bukit Merah, Taiping kira-kira pukul 3 pagi.

Selepas itu, kira-kira pukul 6 pagi, beliau menghantar pula SMS kepada adiknya untuk bertanyakan lokasi adiknya sedang berada ketika itu, tetapi tidak berbalas sehingga beliau menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis pada pukul 7.02 pagi memaklumkan bahawa adiknya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Semasa terima panggilan itu, saya masih dalam perjalanan dan ketika melalui kawasan kejadian, saya terlihat motosikal adik saya yang berada di bahu jalan," katanya dengan sedih.

Ibu mangsa, Milah Mat, 47, berkata beliau ada menelefon anaknya kira-kira pukul 9.30 malam tadi memaklumkan bahawa datuknya telah meninggal dunia dan anaknya memaklumkan dia akan pulang dengan menunggang motosikal.

"Saya ingat arwah bergurau berikutan arwah selalu bergurau dengan saya. Lagipun arwah tidak pernah pulang ke kampung dengan menunggang motosikal selama dia bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah hotel di Sepang," katanya.

Menurut ibunya, arwah yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik baru bekerja di Sepang pada Mac lalu setelah berhenti kerja di sebuah hotel di Langkawi selama tiga tahun.

Beliau berkata anaknya itu telah membelikan sebuah kereta untuknya.

1 comment

LYNA MASHI PRINCESS said...

AL-FATIHAH..org yg dah lma sy cri..akhirnya jmpa dgn brita ini.. ;'(

Powered by Blogger.