Sejauh mana pengaruh Iran di Iraq dan Lubnan?


Dua peristiwa di Asia Barat sejak lebih seminggu lalu memberikan tumpuan kepada Iran dan presidennya yang menarik pelbagai jenis perhatian ketika ini.

Pada 13 Oktober lalu, Mahmoud Ahmadinejad melawat Lubnan, mencetuskan pelbagai reaksi dan tafsiran mengenai lawatan berprofil tinggi itu.

Lima hari selepas itu, Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki melawat Tehran, bertemu Mahmoud di Tehran dan Muqtada al-Sadr di Qom, dua individu yang mewakili kumpulan yang boleh membantu perdana menteri Iraq itu mengekalkan kuasa.

Kedua-dua peristiwa mendapat liputan dan komentar yang memberi gambaran pengaruh Iran yang berleluasa di kedua-dua Lubnan dan Iraq.

Di Lubnan, perhatian sebahagian besar media Barat ialah terhadap Hizbullah dan apa yang disebut sebagai provokasi pemimpin Iran itu terhadap Israel dan Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, lawatan presiden Iran itu ialah sebagai memenuhi jemputan Presiden Michel Suleiman, menjadikan lawatan itu sebagai lawatan negara.

Sambutan meriah terutama daripada masyarakat Syiah di selatan Lubnan bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan sokongan Tehran kepada penentangan terhadap Israel yang lokasi utamanya ialah selatan Lubnan, yang menjadi medan perang pada musim panas 2006.

Apa yang sedikit luar biasa ialah sambutan lawatan Mahmoud oleh rakyat Lubnan daripada masyarakat bukan Muslim Syiah, termasuk Samir Geagea daripada kelompok Kristian berhaluan kanan.

Apa yang dijelaskan melalui lawatan itu ialah usaha Lubnan membina hubungan yang baik dengan Iran, negara yang menjadikan Lubnan sebagai satu medan perluasan pengaruhnya.

Lawatan itu juga menunjukkan pengaruh Syria yang masih kukuh di Lubnan, yang digambarkan oleh lawatan Mahmoud ke Damsyik bertemu Presiden Bashar al-Assad sejurus sebelum melawat Lubnan.

Pertemuan Mahmoud dengan Bashar antaranya menunjukkan pengiktirafan Tehran terhadap pengaruh Syria di Lubnan, sambil pada masa sama menegaskan pengaruhnya terutama dalam kalangan penduduk selatan Lubnan.

Hal ini menunjukkan satu kompleksiti kerjasama dan persaingan antara Iran dengan Syria yang melibatkan Lubnan dan juga Iraq.

Iran dan Syria bekerjasama di Lubnan, tetapi masih bersaing kerana tidak sehaluan dalam semua perkara. Satu yang dikongsi ialah penentangan terhadap Israel.

Hal yang sama berlaku di Iraq. Kedua-dua Iran dan Syria mahukan Iraq yang lebih bebas daripada pengaruh AS, tetapi berbeza pandangan dalam komposisi kerajaan yang memerintah.

Lawatan perdana menteri Iraq yang masih gagal membentuk kerajaan selepas tujuh bulan pilihan raya parlimen juga memberi satu petunjuk kepada pengaruh Iran di Iraq.

Iran dilihat hampir berjaya menjadi broker kuasa dalam membentuk kerajaan baharu di Iraq yang pro-Tehran, dengan Nuri al-Maliki terus menjadi perdana menteri dan kumpulan al-Sadr berperanan besar.

Nuri juga boleh diterima oleh AS, tetapi peranan besar al-Sadr dilihat dengan kritikal oleh Washington.

Nuri juga telah berjaya mendapatkan kerjasama dari Damsyik, yang kini dilihat bersikap agak positif terhadap perdana menteri Iraq itu walaupun masih tidak menarik sokongan kepada Iyad Alawi.

Syria mempunyai pengaruh dalam kalangan Baath dan kumpulan-kumpulan Sunni di Iraq, yang berdiri di belakang Iyad.

Syria kelihatan bersikap fleksibel selepas dilobi oleh Tehran, dan setelah melihat kesukaran Iyad menubuhkan kerajaan kerana masih tidak berupaya mendapat 163 kerusi yang diperlukan.

Damsyik walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan kerajaan yang dikuasai kumpulan pro-Iran dan mahukan kerajaan yang lebih mewakili semua kumpulan, disebabkan visi masa depan Iraq berbeza dipegang oleh Syria berbanding Iran.

Setakat ini, pengaruh Iran dapat dilihat di Iraq, walaupun agak diperbesarkan. Pengaruh ini bakal diuji setelah kerajaan berjaya ditubuhkan, dan sejauh mana kerajaan baharu itu dapat memenuhi agenda Tehran. – 19 Oktober, 2010

http://www.politikpop.com/

No comments

Powered by Blogger.