Calon PRU: Kuasa mutlak bukan di tangan saya, kata Azizan


Oleh: ROSNANI SAAD

ALOR SETAR - Hasrat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mahu bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu mengambil kira pelbagai faktor terlebih dahulu, kata Menteri Besar.

Antaranya ialah bergantung kepada penerimaan dan sokongan dari Pas kawasan.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberi keizinan kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk bertanding di negeri ini.

"Kita tidak tolak calon dari luar malah sudah ada beberapa calon luar yang bertanding di Kedah dalam pilihan raya sebelum ini dan mereka menang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai kuasa penuh untuk menentukannya perkara itu kerana ia wajar dirujuk kepada pihak atasan.

"Apa kuasa saya, saya bukan presiden parti, tetapi orang masih fikir saya yang berkuasa di Kedah (dari segi politik), tetapi saya bukan macam itu.

"Apa yang penting ialah untuk pertahankan kemenangan dan melakukan yang terbaik untuk tadbir Kedah," katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima Mat Sabu sekiranya Pas kawasan mahu menerimanya.

"Sebaliknya, jika ada 100 cawangan, 40 mahu terima dan 60 pula tidak mahu terima. Inilah masanya Badan Perhubungan perlu memainkan peranan dalam mencari kesesuaian atau jalan tengah.

"Tambahan pula, semua aspek perlu diambil kira dalam pilihan raya umum termasuk sokongan individu atas pagar, sokongan orang ramai serta rakan-rakan (dalam parti)," katanya.

Mat Sabu yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah (1999 - 2004), dikatakan cuba mengintai ruang dan peluang untuk bertanding kerusi Parlimen Pendang dalam pilihan raya umum kali ini.

No comments

Powered by Blogger.