Tiada rombakan Pas Kedah


Oleh: ROSNANI SAAD

KOTA SARANG SEMUT - Tiada rombakan dalam Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah walaupun kira-kira 90 peratus suara dari kawasan mahu penyusunan semula dilakukan bagi memantapkan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) susulan kemelut kepimpinan negeri baru-baru ini.

Sinar Harian difahamkan, usul penyusunan semula jawatankuasa itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas negeri dan mendapat sokongan majoriti kepimpinan kawasan termasuk Sungai Petani, Jerlun, Kulim-Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Malah, majoriti wakil yang menghadiri mesyuarat bulanan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9, semalam, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesukaran yang mungkin dihadapi jika kedua-dua timbalan pesuruhjaya Pas, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, kekal dalam jawatankuasa itu.

Susulan kebimbangan itu, ada wakil Pas kawasan yang mengutarakan usul mendesak agar Phahrolrazi dan Ismail dilucutkan jawatan, namun Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah menolak.

Difahamkan, keengganan Azizan adalah disebabkan pendiriannya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ,selain memberi ruang kepada kedua-duanya untuk memperbaiki keadaan.

Sementara itu, Azizan ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat terbabit, tidak menafikan isu mengenai usul penyusunan semula jawatankuasa Perhubungan Pas negeri turut dibincangkan.

"Tidak semestinya bila ada orang minta lucut, kita akan lucutkan (jawatan), tetapi kita ada bincang secara umum mengenainya," katanya.

Menurutnya, terdapat dua peringkat pelucutan iaitu peringkat keahlian dan pelucutan beberapa jawatan.

"Peringkat keahlian, bukan hak negeri tetapi hak Pusat, mengenai pelucutan beberapa jawatan pula, bukan hak pesuruhjaya tetapi pesuruhjaya boleh membuat tuntutan dengan persetujuan jawatankuasa. Namun ada beberapa faktor yang perlu diambil kira, tidak semudah itu," katanya.

Azizan berkata, selain isu berkenaan, mesyuarat bulanan yang bermula jam 9.30 pagi sehingga 2 petang itu turut menyentuh pelbagai isu termasuk kewangan, program serta persiapan pilihan raya.

No comments

Powered by Blogger.