Pujian: Kelantan jangan berada di zon selesa


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Jentera PAS Kelantan diingatkan agar tidak berasa 'berada di zon selesa' untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 ini biarpun parti itu sudah lima penggal mengusai kerajaan negeri iaitu sejak 1990.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusoff berkata, jentera juga diminta tidak termakan dengan sebarang khabar indah atau telahan dari mana-mana pihak apatah lagi yang keluar dari mulut musuh, kononnya Kelantan akan terus kekal di bawah penguasaan PAS pada PRU 13 nanti.

Menurutnya, momokan sebegitu tidak ubah seperti 'jerangkap samar' musuh untuk memastikan jentera parti berada di zon selesa sekaligus mempengaruhi gerak kerja persiapan pilihan raya.

"Kita tidak boleh tengok ianya sebagai pujian, apatah lagi kalau keluar dari mulut musuh.

"Tetapi kita perlu lihat ianya sebagai satu cabaran untuk kita buat tindakan lebih terperinci, bukan ambil atas sifat selesa," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari Umno Tun Daim Zainuddin semalam yang meramalkan PAS akan tetap kekal menguasai Kelantan pada PRU ke 13 akan datang.

Selain Kelantan, beliau turut meramalkan DAP juga akan kekal memerintah Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Bagi Daim, BN hanya akan selesa di tiga negeri sahaja iaitu Melaka, Johor dan Pahang.

Mengulas lanjut Wan Nik berkata, PAS Kelantan perlu berkerja lebih kuat dengan mengambil pengalaman apa yang berlaku pada keputusan PRU 2004.

Ketika itu ujarnya PAS hanya menang majoriti mudah dengan berkelebihan tiga kerusi iaitu 24 berbanding BN, 21.

Kedudukan PAS sekali lagi diuji apabila tewas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada tahun sama sekaligus menjadikan kedudukan bertambah getir dengan PAS 23 dan BN 22.

"Kita perlu keluar dari zon selesa. Ukuran PRU 2008, lonjakan undi berlaku bukan kerana undi penyokong PAS bertambah, tapi sikap pengundi atas pagar yang hampir 30 peratus yang turut mengundi PAS.

"Sikap mereka ini boleh berubah dan kita perlu memberi perhatian khusus kepada golongan ini," katanya sambil menambah bahawa kemenangan dengan lonjakkan mendapat 38 kerusi pada PRU ke 12 itu turut disumbang beberapa isu nasional lain.

Sehubungan itu, beliau memperingatkan jentera agar mendekati golongan yang dikategorikan atas pagar tersebut secara 'sangat cermat' jika mahu melihat PAS terus menerajui kerajaan negeri Serambi Mekah itu.

No comments

Powered by Blogger.