Isu FAM: Ada usaha cantas Annuar


Oleh: ROSMIZA KASIM

KELAB Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan menyifatkan kemelut yang dihadapi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa adalah usaha mencantas beliau untuk berada di peringat lebih tinggi dalam persatuan.

Pengerusinya, Yahya Jamada Ali mendakwa, terdapat pemimpin persatuan yang dilihat tidak senang dengan pandangan positif daripada Annuar untuk melihat mutu persembahan pasukan bola sepak.

Yahya turut mempersoalkan, mengapa wujudnya usaha mencantas Annuar, sedangkan lontaran pandangan berkenaan perlu dinilai daripada sudut positif demi masa depan pasukan bola sepak negara.

"Adakah dengan ini adalah cara untuk menyekat Annuar, sedangkan beliau mempunyai kewibawaan dan wawasannya dalam arena bola sepak negara.

"Mungkin ada yang takut apabila melihat Annuar berani memberikan idea sebenar dan inilah yang akhirnya dihadapi oleh beliau," katanya.

Yahya menyifatkan Annuar sangat cemerlang dan menonjol dalam membawa pasukan bola sepak Kelantan dan beliau mempunyai hala tuju untuk melihat kualiti persembahan kumpulannya.

Yahya turut membayangkan kemungkinan Annuar akan menerima nasib sama seperti bekas Naib Presiden, Allahyarham Datuk Basri Akil yang lantang bersuara mengkritik FAM.

"Bagi saya tidak ada siapa yang berani bersuara dan membuat teguran di dalam mesyuarat dengan kehadiran pucuk pimpinan tertinggi persatuan, jadi pandangan Annuar adalah positif," katanya.

Beliau tidak bersetuju tindakan FAM membawa Annuar ke Jawatankuasa Disiplin, sebaliknya sepatutnya dibincangkan dengan rasional.

"Adakah FAM ini kebal, tidak ada sesiapa boleh menyuarakan pandangan untuk kebaikan bola sepak negara," katanya.

No comments

Powered by Blogger.