Selamat hari jadi ke-46 DAP


Komentar Roketkini

Hari ini genap 46 tahun penubuhan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang yang telah menjadi mangsa fitnah kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO sejak penubuhannya pada 18 Mac 1966.

Ramai orang masih tidak mengetahui apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh DAP, namun banyak pula yang menelan bulat-bulat pembohongan UMNO-BN kononnya DAP adalah parti komunis, cauvinis dan hanya mementingkan kaum Cina. Semua ini hanya fitnah belaka.

Sepanjang 46 tahun kewujudannya menentang arus dan menempuh badai, DAP terpaksa mengulangi beratus, malah beribu kali, bahawa ia adalah parti demokrat yang mahu kepada peluang saksama dan keadilan sejagat tanpa mengira kaum dan agama. Itu sahaja. Ia bukan komunis atau cauvinis. Ia parti pelbagai kaum untuk semua kaum.

Sepanjang tempoh itu juga, selain fitnah yang berterusan, para pemimpin dan ahli DAP terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran, termasuk penindasan pemerintah UMNO-BN. Dalam bentuk yang kejam dan zalim.

Erti perjuangan

Bersama-sama dengan rakan seperjuangan PAS, ramai para pemimpin dan ahli DAP telah merengkok dalam tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Senarainya begitu panjang sekali walau pun cuba dipadamkan dari sejarah rasmi yang dikawal oleh UMNO-BN.

Mantan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang yang kini Ketua Parlimen DAP adalah antara mereka yang pertama yang ditahan di bawah ISA dan cuba dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Walau pun terbukti Kit Siang sama sekali tidak terbabit, sehingga hari ini tiada usaha untuk memulihkan namanya yang telah dicemar oleh pemerintah UMNO-BN.

Dari senarai kepimpinan DAP hari ini, Pengerusinya Karpal Singh juga menjadi mangsa ISA. Begitu juga Timbalan Pengerusi Dr Tan Seng Giaw. Malah Setiausaha Agung Lim Guan Eng turut ditahan tanpa bicara bersama ayahnya Kit Siang waktu Operasi Lallang 1987 bersama Karpal dan Seng Giaw.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai juga pernah ditahan ISA. Begitu juga Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok yang menjadi mangsa ISA.

Pendek kata, tidak ada parti politik yang sah di sisi undang-undang di negara ini di mana barisan kepimpinannya paling ramai menjadi mangsa ISA. Semuanya kerana perjuangan mereka membela rakyat serta mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan UMNO-BN.

Sehingga hari ini tuduhan ke atas mereka tidak pernah dibawa ke mahkamah terbuka. Maksudnya sehingga hari ini mereka tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. Maksudnya dosa kezaliman dan kekejaman masih terus ditanggung oleh pemerintah UMNO-BN.

Selain barisan kepimpinan yang ada hari ini, ramai lagi tokoh DAP yang dimangsakan oleh kerajaan UMNO-BN. Antara mereka adalah salah seorang pengasas DAP Chan Kok Kit (meninggal dunia 2001), Datuk Chian Heng Kai (meninggal dunia 2011), P. Patto (meninggal dunia 1995), Dr Kua Kia Soong, M. Manoharan dan berapa orang lagi yang menjadi penghuni kemn tahanan tanpa bicara di bawah ISA.

Segala tangisan dan penderitaan kaum keluarga serta sanak saudara dan sahabat handai mereka tidak dipedulikan sama sekali oleh kumpulan elit yang berada di tampuk kuasa.

Asas-asas perjuangan

Inilah pengorbanan para pemimpin dan ahli DAP semata-mata memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.

Mengimbas kembali, asas-asas yang mereka perjuangkan adalah berdasarkan:

* Berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan untuk menubuhkan satu masyarakat bercorak demokrasi sosial;

* Memelihara negara Malaysia yang demokratik berasaskan hak mengundi dewasa sejagat rakyat Malaysia;

* Menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi dan peluang dalam sistem sedia ada; mewujudkan ekonomi yang memberikan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan pulangan ekonomi setimpal dengan usaha dan kemahiran mereka;

* Memastikan kehidupan yang memuaskan dan keselamatan sosial kepada golongan tua dan kurang upaya; dan

* Menyemai semangat perpaduan negara, bermaruah dan berdikari di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka dengan perasaan untuk berikhtiar dalam mewujudkan satu masyarakat yang makmur, stabil dan saksama.

Atas perjuangan inilah para pemimpin dan ahli DAP sering menjadi mangsa kerakusan kuasa UMNO-BN.

Kini 46 tahun sudah berlalu, dan DAP tetap cekal dan tabah dengan prinsip perjuangan yang sama. Dengan berbekalkan Perlembagaan Persekutuan yang diterima pada 1957, perjuangannya tetap mahu membebaskan rakyat dari cengkaman politik perkauman dan salah guna kuasa serta korupsi.

Perjuangan DAP yang dipenuhi dengan duri dan air mata akan tetap diteruskan. Generasi masa kini lebih memahami erti perjuangan. Mereka sudah afdal dalam membezakan antara kebenaran dan fitnah.

Rakyat mahu ubah sekarang, rakyat mahu selamatkan Malaysia. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.