BN ‘sapu’ tanah: Selangor sedang kumpul bukti – MB

KUALA LUMPUR 6 Dis: Kerajaan Selangor sedang giat kumpul maklumat berhubung dakwaan ‘projek sapu tanah’ oleh kerajaan BN sebelum ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pegawai-pegawai daerah bagi mendapatkan pandangan berhubung isu itu.

“Kita masih dalam proses semak dan tambah maklumat kerana kita juga perlu turun padang untuk ambil gambar tanah dan jenis pembangunan yang dilakukan di atas tanah tersebut.

“Kemudian kita juga akan berbincang dengan Pegawai-pegawai Daerah untuk mendengar pandangan mereka berkenaan hal ini,” jelasnya, dipetik Media Selangorku.

Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini mendedahkan berlakunya ‘projek sapu tanah’ oleh kerajaan BN di Selangor yang melibatkan 23 keping tanah yang mempunyai keluasan 33.5 ekar di negeri berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, tanah-tanah dengan keluasan satu hingga tujuh ekar itu dianggarkan bernilai lebih daripada RM20 juta, dan merupakan tanah yang bernilai tinggi kerana merupakan tanah untuk tujuan perniagaan komersial, rumah kedai, dan bangunan perniagaan.

Katanya, tanah-tanah tersebut diperolehi dengan harga bayaran premium sekaki nominal hanya RM1.

Jelas beliau, perkara itu berlaku antara 2000 hingga 2008, yang ketika itu Selangor diketuai oleh Dr Khir Toyo selaku Menteri Besar, sebelum negeri berkenaan tewas pada Pilihan Raya 2008 kepada Pakatan Rakyat.

1 comment

GEBU said...

Syabas kerajaan PR Selangor khususnya kepada MB Selangor dengan tindakan yang menunjukan keperihatinan kerajaan kepada rakyat.
Rakyat semua menunggu2 akan keputusan dan tindakan yang bakal diambil terhadap perompak dan lanun dari UMNOngok ni.

Powered by Blogger.