Media diharap lapor berdasarkan fakta, kebenaran – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 14 DISEMBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Kongres Kebangsaan DAP ke-16 bermula esok adalah penting kepada parti terutama dalam memilih barisan kepimpinan baru, selain memulakan kiraan detik 100 hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, pemilihan barisan kepimpinan kali ini mencatat rekod tersendiri apabila seramai 2,576 perwakilan layak mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung esok.

Kongres bertemakan ‘Perubahan Ditangani’ ini akan menyaksikan 68 calon bertanding merebut 20 kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.

“Ia adalah kongres parti DAP yang akan memilih barisan kepimpinan baru untuk tiga tahun yang akan datang. Kongres ini penting secara dalaman dan luaran.

“Pada aspek dalaman, ini adalah urusan dan satu proses demokrasi yang penting bagi parti DAP yang akan ditentukan ahli,” katanya ketika meninjau persiapan kongres di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), hari ini.

Tidak halang media buat liputan

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tiada halangan kepada mana-mana media untuk membuat liputan pada kongres dua hari itu yang diadakan di PISA bermula esok.

“Kita berikan ruang kepada semua media utama untuk buat liputan. Tapi kita lahirkan harapan biarlah (laporan) berdasarkan kebenaran dan fakta. Kita berharap media memberi laporan yang betul mengenai apa yang berlaku sepanjang kongres itu.

“Kami tidak larang media…mereka dibenar membuat liputan, Tiada sebarang sekatan dikenakan. Ini terbuka kepada semua,” katanya.- Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.