Insiden berdarah Gombak: Najib suburkan budaya samseng – Azmin

(Oleh Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 6 Dis: Serangan Pemuda Umno pada Ceramah Merdeka Rakyat Gombak bukti budaya samseng di negara ini disuburkan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan samseng Umno menikam rakyat dan membaling batu, pasu bunga dan pelbagai objek keras membuktikan Najib menyuburkan budaya samseng sedangkan mereka datang hanya untuk mendengar ceramah,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Dalam serangan samseng Umno di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2, Gombak malam semalam, sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat cedera.

Mangsa pertama, seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditikam dengan objek tajam manakala seorang lagi Haider
Samsudin cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu.

“Mereka ini bersifat kebinatangan apabila melontar kayu, batu-bata dan pasu bunga kepada penduduk yang tidak berdosa dan ia pertama kali berlaku di kampung ini.

“Mereka menjerit, memaki, bertindak ganas dan biadab termasuk membawa objek tajam dan menikam petugas. Kalau mereka hendak naikkan bendera, kita tak ada masalah, tetapi jangan biadab dan ganggu rakyat,” kata Azmin pada sidang media sejurus selepas program itu.

Provokasi dimulakan Pemuda Umno yang berlagak mat rempit dengan berkonvoi pada 8.30 malam menuju ke lokasi ceramah Pakatan.

Mereka yang membuat provokasi ke hulu ke hilir tanpa helmet sambil mengibar bendera BN menyebabkan jalan menuju ke tapak ceramah sesak.

Pemandu kenderaan terpaksa membunyikan hon bagi meminta laluan, namun suasana bertambah kecoh.

Sebaik Azmin mengambil tempat ceramah, samseng Umno menjerit-jerit menganggu program, namun rakyat tidak menghiraukannya.

Pujian juga harus diberikan kepada petugas keselamatan Pakatan yang sabar melayan karenah samseng itu.

Anwar tiba kira-kira 11 malam dan rakyat berpusu-pusu memenuhi setiap ruang tapak ceramah untuk mendengar ucapan bakal Perdana Menteri itu.

Umno yang tertekan dengan situasi tersebut bertindak biadab memasang pembesar suara dan menghalakannya ke tapak ceramah.

Anwar memulakan ceramah dengan ayat suci al-Quran dan berbicara mengenai Hijrah Rasulullah SAW, namun disambut makian dan kata-kata lucah oleh samseng Umno.

Jeritan samseng Umno yang tidak sampai 100 orang itu akhirnya tenggelam oleh laungan reformasi hampir 4,000 penyokong Pakatan.

Sementara itu, beberapa peniaga Melayu Muslim terpaksa menutup kedai kerana khemah mereka bocor dan beberapa peralatan rosak akibat serangan samseng Umno ketika cuba merempuh dan memasuki tapak ceramah.

No comments

Powered by Blogger.