Perkembangan Kes Dr Putus Jari Ditetak

2 lelaki mengaku tak bersalah tetak jari doktor

PETALING JAYA - Dua lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menetak jari Dr Delaila Ahmad hingga putus ketika melakukan rompakan dua minggu lepas.

P. Sharves, 22, dan S. Kanthavellu, 20, didakwa menyebabkan kecederaan dengan menetak jari tangan kiri Dr Delaila, 59, di tepi jalan SS 19/6, Subang Jaya menggunakan parang pada 1.20 pagi, 16 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan mereka didakwa atas tuduhan merompak wang tunai RM18,000 milik Dr Delaila di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 dengan mensyaratkan bapa tertuduh pertama dan ibu tertuduh kedua sebagai penjamin.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula 22 Ogos.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din bagi kes rompak dan bagi kes mencederakan, dikendalikan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

Kedua-dua tertuduh diwakilli peguam S. Siva Ganish. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.