BANI ISRAEL YANG PENAKUT
Allah SWT memerintahkan Bani Israel pengikut Nabi Musa a.s berjihad membuka kota Palestin. Taklifan yang jika dilaksanakan, akan meninggikan martabat Bani Israel. Daripada kaum yang ditindas Firaun menjadi kuasa pemerintah Palestin.
⭕ Manfaat Jihad Untuk Umat Islam
يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الأرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلا تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
''Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.''
Apabila umat Islam diarahkan berjihad, Allah SWT menjamin kemenangan jika kita beriman dan bersabar.
Sebaliknya apabila umat ini meninggalkan kewajipan jihad, kita akan menjadi rugi dan terhina.
⭕ Kun fayakun
Allah SWT boleh memberikan kemenangan secara percuma kepada Bani Israel. Perkara tersebut telah pun berlaku ketika Bani Israel diburu Firaun dan bala tenteranya. Bani Israel selamat menyeberangi laut, sebaliknya Firaun dan khadam-khadamnya tenggelam lemas di tengah lautan.
Tetapi Allah memerintahkan mereka berjihad membuka Palestin. Ketika itu Palestin dikuasai Kerajaan Jabbarin yang besar dan gagah.
⭕ Sikap Biadap & Meragui Janji Kemenangan Islam
Pelbagai peristiwa ajaib telah berlaku sebagai pertolongan Allah kepada mereka. Mereka juga menyaksikan pelbagai mukjizat Nabi Musa a.s.
Akan tetapi, perkara tersebut tidak menambah keimanan dan tawakkal mereka kepada Allah SWT.
Bukan sahaja ingkar terhadap perintah jihad, bahkan mereka menyuruh Nabi Musa a.s sahaja yang berjihad dengan bantuan Allah. Sebaliknya mereka hanya mahu duduk berehat, menunggu kemenangan tersebut berlaku. Seolah-olah menyindir janji kemenangan dan pertolongan Allah.
⭕ Istiqamah Natijah daripada Iman
قَالَ رَجُلانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
"Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: "Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya pasti kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
Pengikut Nabi Musa a.s yang istiqamah pada masa tersebut hanyalah dua orang. Bilangan yang sangat sedikit.
Kunci istiqamah mereka bersama perjuangan Nabi Musa a.s adalah iman dan taqwa kepada Allah. Untuk membina iman yang kukuh, manusia mesti dididik dengan ilmu dan tarbiyah. Kerana iman tersebut akan berdepan ujian dan godaan yang menggugat keyakinan mereka terhadap Islam.
⭕ Kerana Degil & Malas Berjihad, Nabi Tidak Mengaku Umat
قَالَ رَبِّ إِنِّي لا أَمْلِكُ إِلا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ
Berkata Musa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu".
Sebagai hukuman ke atas maksiat kedegilan mereka, Allah SWT menghukum mereka dengan disesatkan selama empat puluh tahun di padang pasir Sinai.
Dalam tempoh tersebut, wafat Nabi Harun dan Nabi Musa a.s.
Generasi tua yang pengecut juga mati dan digantikan Allah dengan generasi baru dan beriman.
⭕ Mencontohi Akhlak Sahabat
Perangai hodoh Bani Israel tersebut dirakamkan di dalam Al-Quran supaya menjadi sempadan bagi kita.
Sikap mereka berbeza dengan sahabat Nabi Muhammad SAW.
Dalam menghadapi Perang Badar yang serba kekurangan tenaga dan kelengkapan persenjataan, mereka tetap bersama-sama perjuangan Nabi SAW.
🔴 Al-Miqdad berkata,
"Wahai Rasulullah, teruskan saja sebagaimana yang diperlihatkan oleh Allah kepada engkau, kami akan tetap bersamamu. Demi Alah, kami tidak akan berkata kepada engkau sebagaimana Bani Israil berkata kepada Musa, tetapi kami katakan: Pergilah engkau berperang bersama Tuhanmu, kami akan turut berperang bersama. Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika engkau berjalan dengan kami ke arah pasukan berpedang, tentu kami akan tetap menyerang dengan pedang bersamamu melawan mereka, sehingga engkau dapat menyampaikan dakwah kepada mereka."
🔴 Sa’ad bin Mu’adz pula berkata,
“Kami telah beriman kepada engkau dan membenarkan engkau. Kami bersaksi bahwa apa yang engkau bawa adalah benar. Kami berikan kepada engkau janji kami untuk selalu taat kepada engkau. Oleh kerana itu, teruslah wahai Rasulullah dengan apa yang engkau kehendaki, kami akan tetap bersamamu. Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika engkau bentangkan lautan di hadapan kami, lalu engkau mengharunginya, tentu kami akan turut mengharunginya bersamamu dan tidak satu pun dari kami yang tertinggal. Sesungguhnya kami akan bersabar dalam peperangan dan jujur dalam pertemuan. Semoga Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa yang menggembirakan dari kami."
Di sinilah terletaknya kemuliaan umat Nabi Muhammad SAW. "Sanggup pergi ke mana sahaja, kerana kami bukan seperti Bani Israel."
Kejujuran dalam beriman.
Sofia Alwani Ali
18 Jamadil Awal 1439 / 4 Februari 2018
No comments
Post a Comment