Kenyataan Paul Low mengejutkan

Kenyataan Paul Low mengejutkan

Malang bila dunia seringkali meletakkan kesalahan kepada Islam, sedangkan hakikat sebenar ialah negara yang memisahkan urustadbir dengan dasar Islam menjadi punca.

Hari ini, rakyat melihat parti pemerintah menjadi pelindung kepada pelbagai kesalahan rasuah dan salahguna kuasa. Umno-BN menjadi punca kerana gagal meletakkan Islam sebagai sistem terbaik dalam urus tadbir negara, sehingga tahap rasuah negara Malaysia yang dihuni majoriti umat Islam kini jatuh ke tahap setanding Cuba.

Kemerosotan 7 tangga Malaysia daripada 55 di 2016 ke 62 di 2017 dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) terbaru Transparency International Malaysia (TI-M) sememangnya menyedihkan malah mengejutkan.

Apapun, tiada yang lebih mengejutkan dan mengecewakan daripada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Paul Low yang dipetik Malaysiakini, 22 Februari 2018 di mana beliau menyalahkan kemerosotan itu atas tindakan agresif SPRM.

"Publisiti dan pendedahan meluas yang diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes-kes ini dalam tahun-tahun mutakhir mewujudkan lebih banyak tanggapan negatif yang sekali gus menyumbang terhadap kemerosotan mata dan kedudukan CPI Malaysia.

"Bagaimanapun, ini tidak boleh menghalang SPRM daripada membuat penguatkuasaan agresif dan kerajaan daripada membuat perubahan transformasi jangka panjang," kata Low yang dipetik.

Meletakkan kemerosotan kedudukan CPI ke atas bahu SPRM yang telah melakukan pelbagai tindakan pendakwaan dan tangkapan sebagai punca jelas adalah satu usaha tidak bertanggungjawab. Ia tidak dapat menyembunyikan fakta bahawa budaya rasuah kini menular di seluruh pelusuk negara pada tahap yang kritikal.

Kerajaan BN ternyata gagal dalam meningkatkan imej negara di mata dunia. Pelbagai kemelut kewangan yang besar seperti isu 1MDB dan Felda gagal diselesaikan dengan satu jawapan yang memuaskan atau pendakwaan terhadap mereka yang terlibat sehingga kini. Bukan itu sahaja, skandal-skandal lain yang lama seperti skandal PKFZ, skandal forex Bank Negara Malaysia masih bermain di bibir rakyat.

Malah budaya rasuah kini juga menular kepada kerajaan yang ditadbir pembangkang. Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya kini berdepan dakwaan rasuah di mahkamah isu banglo manakala isu terowong kini rancak disiasat oleh SPRM.

Ketua Pengarah SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad turut melahirkan rasa terkejutnya dengan kejatuhan indeks rasuah Malaysia kerana beliau merasakan telah banyak usaha yang dibuat oleh SPRM.

PAS tidak menafikan bahawa SPRM telah banyak berusaha di bawah Datuk Dzulkifli. Akan tetapi, Ketua Pengarah SPRM perlu menilai balik semula kata-kata beliau seperti yang diwawancara di Mingguan Malaysia pada 21 Mei 2017 sebagai salah satu punca.

Di wawancara tersebut, beliau dipetik sebagai berkata SPRM tidak mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana tidak mahu dijadikan alat atau modal kempen oleh parti-parti politik.

Kenyataan Ketua Pengarah SPRM telah mendedahkan sejauhmana 'kesungguhan' SPRM membuat pembongkaran dan pendakwaan skandal rasuah ke atas ahli-ahli politik, terutamanya mereka yang berkuasa. Perlu diingat, ramainya ahli politik yang diheret untuk disoal siasat bukan petanda skandal rasuah telah selesai dibongkar. Malah, kenyataan Datuk Dzulkifli menyebabkan rakyat berpersepsi ada pendakwaan terpilih sekiranya ada pemimpin pembangkang tapi tiada pemimpin BN yang diheret ke mahkamah kerana rasuah sebelum PRU14.

PAS tegas menyatakan rasuah perlu dicegah melalui pendekataan bersepadu dengan menekankan nilai fizikal dan spiritual, mengurangkan kos hidup yang membebankan rakyat, meningkatkan pendapatan rakyat serta tauladan daripada kepimpinan negara yang boleh dijadikan model bagi rakyat.

Sehubungan itu, PAS menyeru agar rakyat agar menolak mereka yang terlibat dan melindungi rasuah. Berilah mandat kepada mereka yang tidak terpalit dengan rasuah. PAS menerajui Kelantan selama 27 tahun tanpa terpalit dengan rasuah. Kejayaan PAS menerajui Kelantan selama 27 tahun tanpa terpalit dengan rasuah dan mendapat anugerah khas Jabatan Audit negara perlu dijadikan asas ukuran sebelum mengundi di PRU ke 14 nanti.

Marilah kita bersama menyelamatkan negara dengan bahtera Islam agar negara dan rakyat akan hidup dalam sejahtera, aman damai dan keadilan yang dinikmati semua.

Malaysia Sejahtera bersama Gagasan Sejahtera.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Februari 2018

No comments

Powered by Blogger.