Bangsa Melayu jadi mulia apabila bersatu di bawah Islam

KOTA BHARU, 8 Mei (Hrkh) � Cadangan pemuafakatan bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu di negara ini hendaklah mengambil kira kepentingan pelbagai kaum dan agama seperti dijamin dalam perlembagaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ridza Zain berkata, pihaknya tidak mahu pemuafakatan yang dibentuk membangkitkan sikap perkauman dan permusuhan di antara agama.

�Pemuafakatan tersebut haruslah menjadikan agama Islam sebagai teras kepada Melayu sebagaimana ditakrifkan dalam Perlembagaan Malaysia.

�Bangsa Melayu hanya akan menjadi mulia dan dipandang tinggi apabila Melayu bersatu kembali dengan Islam sebagaimana yang telah dipraktikkan ketika kegemilangan kesultanan Melayu Melaka,� katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini ada cadangan pemimpin PAS, KeADILan dan Umno duduk semeja bagi membincangkan ke arah pemuafakatan untuk mempertahankan hak Melayu.

Isu pemuafakatan Melayu kembali diperkatakan selepas Umno dan Barisan Nasional kehilangan kuasa majoriti di parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sedangkan hegemoni kuasa politik Melayu di bawah Umno begitu kukuh sejak 50 tahun lalu, sehingga mereka berkuasa penuh melakukan apa sahaja.

Namun sekarang kuasa Umno mulai tergugat dengan kehadiran Pakatan Rakyat sehingga menguasai lima negeri.

Oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan menyokong Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Exco Umno, Datuk Norza Zakaria duduk semeja membincangkan isu tersebut.

Menurutnya PAS, Umno dan KeADILan sebagai parti yang majoriti keahliannya orang Melayu harus menjadi tunjang kepada penerusan usaha bagi membentuk pemuafakatan mempertahankan hak-hak dan ketuanan orang Melayu.

Kata beliau bangsa Melayu hanya akan menjadi mulia dan dipandang tinggi apabila mereka bersatu di atas platform Islam.

�Selain itu pemuafakatan juga hendaklah mengkaji dan mengenal pasti permasalahan yang dialami orang Melayu dari aspek kualiti modal insan, penghayatan agama dan krisis kepimpinan yang meruncing.

�Dilema ini diharap dapat ditangani dengan saksama dan telus. Semua pihak hendaklah ikhlas,� katanya.

Mohd Ridza berkata, Dewan Pemuda PAS Kelantan mengingatkan pemuafakatan tersebut hendaklah menjadikan Islam sebagai asas, di samping mengambil kira kepentingan kaum lain. - mj

No comments

Powered by Blogger.