Terima Kasih Abdullah Siasat Mahathir!

PENGSYORAN yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Di Raja berkaitan video VK Lingam agar enam nama individu yang disebut (terlibat) dalam skandal itu disoal dialu-alukan. Rakyat yang selama ini dahaga kepada keadilan dan mahu melihat keadilan dilaksanakan ke atas semua golongan rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat merasa gembira dengan cadangan itu.

Selama ini rakyat merasakan undang-undang hanya dikenakan ke atas rakyat marhaen saja. Undang-undang menjadi tegas ke atas orang miskin dan golongan bawahan namun liat kepada golongan atasan! Malahan rakyat ningrat, yang berkuasa dan para berjois sering kali terlepas atau dilepaskan daripada kuasa dan tindakan undang-undang. Kuasa wang, pengaruh dan hubungan kekeluargaan (dengan orang besar) serta kepentingan parti politik menyebabkan mereka terlepas.

Contoh klasik dalam hal ini bagaimana beberapa menteri yang didapati bersalah melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang sudah pun diberi green light untuk didakwa namun ditarik balik saat-saat akhir. Ini termasuklah apa yang berlaku ke atas Rafidah Aziz dan lain-lain.

Seorang bekas menteri semasa Mahathir menjadi PM telah dikatakan melakukan penyelewengan wang rakyat berpuluh juta ringgit, disiasat kemudian dilepaskan begitu saja. Sebalik yang kena ialah pegawai kerajaan yang dijadikan kambing hitam atau cina buta oleh menteri berkenaan untuk mendapat wang.

Enam individu diarah agar disiasat ialah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dua bekas Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz, Esuoff Chin, peguam kanan VK Lingam dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tengku Adnan Mansor. Mereka ini dikatakan memainkan peranan dalam perlantikan hakim.

Cadangan yang dibuat agar mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rashia Rasmi (OSA) Akta Profesional Guaman, Akta Rasuah dan Kanun Keseksaan atas alasan menghalang proses keadilan di negara ini dibentuk dengan penuh ketelusan dan kejernihan!

Walaupun pengsyoran itu dibuat atas kapasiti dan kuasa Suruahanjaya Di Raja itu namun orang akan terus terkenang kepada Perdana Menteri hari ini Abdullah Ahmad Badawi. Seperti mana ketika mahkamah membebaskan Anwar Ibrahim dari tuduhan penyalahgunaan kuasa pada 2 September 2004 semua orang menghalakan anak mata kepada Abdullah.

Ketegasan kerajaan

Begitu juga dengan pengsyoran Suruhanjaya itu yang dianggap berani dan tegas, umum secara automatik orang beranggap ia adalah ‘kerja’ Abdullah. Kalau Abdullah tidak memberi green light dari lampu Aladin kekuasaannya mustahil Suruhanjaya itu berani membuat pengsyoran itu.
Keputusan itu juga dilihat sebagai keberanian dan ketegasan Kerajaan hari ini dalam melaksanakan undang-undang dan menegakkan keadilan.

Mungkin ia tidak ada kena mengena dengan Abdullah. Namun itulah persepsi umum berkaitan dengan pengsyoran itu. Maka wajarlah rakyat (atas persepsi itu) mengucapkan terima kasih kepada Abdullah.

Ada juga untungnya BN lemah dan kehilangan empat buah negeri kerana ia boleh menyuntik keberanian kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Mungkin kalau Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor masih belum jatuh serta BN tidak kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen keputusan atau cadangan seperti pengsyoran Suruhanjaya itu tidak akan berlaku.

Kita percaya kalau PM bukan dipegang Abdullah dan kebetulan kalau BN tidak dalam keadaan nazak hari ini mungkin kebebasan dan ketelusan itu tidak ada. Siapakah yang berani menyiasat individu-individu berkenaan sebelum ini? Semua mereka pernah berkuasa dan dilindungi di mana pengaruh mereka ke atas pihak-pihak tertentu masih ada. Dalam erti kata lain mereka masih ada budi untuk dikenang oleh pihak tertentu!

Apabila siasatan sudah bermula ke atas individu berkenaan akan bermulalah satu lagi episod pendedahan apa yang belum terdedah sebelum ini. Mahathir ketika mengalu-alukan pengsyoran itu seperti mana dipetik kenyataan dari Johor Bharu hari ini menyatakan kesediaanya untuk disiasat dan redha dengan keputusannnya nanti.

Kenyataan beliau menjelaskan sikap berani beliau! Walaupun beliau cuba menunjukkan keberanian namun ada nada ugutan terselit dicelah-celahnya bila mana beliau menyebut, "akan banyak hal-hal yang tidak disebut sebelum ini akan dibongkarkan ini termasuklah hakim-hakim yang melobi kepada saya." Apakah maksud Mahathir berkata demikian?

Kalau awal-awal lagi Mahathir sudah mengakui begitu bermakna perlantikan hakim-hakim sebelum ini tiada kebebasan sebaliknya atas pertimbangan dan budi bicaranya. Bila ia dibuat begitu maka perlantikan hakim itu tentulah untuk kepentingannya. Kalau beliau bersedia hendak dedah dan bongkar, bagus! Tidak cukup telapak tangan dengan nyiru rakyat tadahkan.

Kenapa perlu melindungi hal-hal itu sedangkan ia boleh meruntuhkan peradaban bangsa dan negara? Apakah kalau beliau (Mahathir ) tidak dipanggil maka selamanya hal-hal busuk yang dikendung itu akan dilindungi dan disimpan dalam almari di rumahnya?

Percepatkan siasatan dan dakwaan ke atas Mahathir. Kita mahu lihat dan dengar apa yang akan diedahkan olehnya. Kita mahu penyiasatan dibuat kesemua sekali ke atasnya. Ini termasuklah juga berhubung pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri 10 tahun lalu. Siasatlah Mahathir sudah tiba masanya!

mso

No comments

Powered by Blogger.