Lebih 6,000 ziarah jenazah Tan Sri SM Nasimuddin

Lebih 6,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat memenuhi Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini untuk menziarahi jenazah Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, Khamis lepas.

Jenazah pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza itu yang diterbangkan dari LA tiba di masjid berkenaan pada 1.50 tengah hari diiringi kaum keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Jenazah kemudian diletakkan di dewan serbaguna masjid itu untuk membolehkan orang kenamaan, tokoh-tokoh korporat dan angggota masyarakat yang menunggu sejak pukul 12 tengah hari menziarah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis.

Tidak ketinggalan turut menziarah jenazah Allahyarham ialah pegawai dan pemain bola sepak pasukan Kuala Muda Naza.

Sejurus selepas jenazah tiba, pelajar dari Madrasah Sheikh Mohamad Salahuddin AlAmin dari Hulu Langat dan Madrasah Al-Rahmaniah dari Bukit Beruntung membacakan surah Yasin.

Pada kira-kira 2.30 petang, jenazah Allahyarham dibawa ke dalam masjid untuk disolatkan.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa dengan kenderaan jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kampung Melaka, Hulu Langat. Allahyarham dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Salbiah Abdul Majid.

Nasimuddin, 53, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Long Beach, LA setelah mendapatkan rawatan untuk kanser paru-paru di Amerika sejak Januari lepas.

SEMOGA DI CUCURI RAHMAT...AL-FATIHAH

No comments

Powered by Blogger.