Badan saja PAS - baju KEADILAN

Memang muakpun melihat ramai ahli-ahli Pas, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan Pas tetapi berbaju Keadilan. Sesekali semacam hendak menyindir betapa aqidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap ‘reformasi’. Bagaimanapun maksud sedemikian tidak jadi apabila berpegang kepada seruan pemimpin tentang perlunya menafikan 2/3 BN. Pembangkang perlu disokong.

Termasuklah saya pun, selalu tergila-gila menyertai ceramah KeAdilan, menyumbang sesuatu tetapi kerana badan sudah tua, kerja seperti Unit Amal saya tidak lakukan.

Jika mahu mengimbau kembali Pilihanraya Permatang Pauh 26hb Ogos 2008, sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli Pas semacam sudah menjadi ahli Keadilan, malah mereka lebih Keadilan dari Pas, mabuk rasa mabuk nama. Mereka seperti Mat Rempit menaiki motosikal dengan baju KeAdilan, lambang dan bendera KeAdilan lalu singgah di markas-markas KeAdilan dan Pas. Lagak mereka, mereka telah merengkuh habis berbakti kepada KeAdilan.

Ketika berselisih dengan rakan-rakan (ketika ini sudah tidak ketahuan lagi yang mana Pas yang mana KeAdilan) sangat payah hendak membeza yang mana orang KeAdilan dan yang mana orang Pas.
Mereka akan melaung dan menjerit ‘Reformasi’ dan bukan lagi ‘Allahu Akbar.’

Yang lebih mendukacitakan, ketika Pilihanraya ke 12 pada 8 Mac yang lalu, ada ahli-ahli Pas lebih menumpukan kerja buat, gerak amal, mencula undi dan tercongok di Pondok Panas KeAdilan lebih dari Pas, jika kawasannya calon Pas tetapi kawasan sempadannya calon KeAdilan.

Yang lebih malang pula apabila seorang YB KeAdilan yang cuba memperjuangkan maruah Islam atas nama sebagai individu Islam, membantah kepada kumpulan yang hendak merosakkan perjalanan undang-undang Islam, lalu Parti KeAdilannya hendak mengambil tindakan, orang-orang Pas ini juga marah-marahkan kepada calon tersebut.

Terakhir, dari mulut ke mulut mereka impikan peralihan kuasa melalui KeAdilan (PKR) dan apabila ada pemimpin Pas berceramah, mereka akan merungut dan membeber mulut jika pemimpin Pas mengupas soal Peperangan Kubra atau Nuzul Qur`an dalam kontek politik kini, kerana pemimpin Pas itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Dato’ Seri Anwar menjadi pemimpin.

Contoh yang digambarkan di atas bukan atas niat cemburu atau sakit hati atau menidak pentingnya kejayaan PKR. Sebaliknya kerana hendak menyambung apa yang diucapkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang ketika berucap di perhimpunan Nuzul Qur`an di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada malam 17 Ramadan yang lalu.

Memanglah Presiden Pas itu tidak membuat gambaran seperti senario di atas. Bagaimanapun kerana sikap dan gaya begitu, budaya baru ahli-ahli Pas, maka Presiden mengingatkan begitu.

Sangat penting apabila Presiden Pas mengingatkan semua ahli-ahli Pas agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru hingga sanggup mengenepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Yang lebih penting dan perlu diingat ialah bagaimana perlunya konsisten dengan dasar perjuangan, jangan lari dari jemaah.

Kemungkinan jauh di sudut hati Presiden, kebimbangannya ialah tidak mahu berlaku kepada ahli-ahlinya yang kononnya sudah mantap dengan aqidah perjuangan, jadi seperti peperangan Uhud; kerana sesuatu, meninggalkan medan perang sehingga lupa kepada pesan pemimpin.

Memang apa yang digambarkan di atas berlaku bukan saja ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 ogos yang lalu, sebaliknya berlaku di mana-mana ketika pilihanraya ke 12 yang lalu.

Begitulah seperti kata pepatah; lebih sudu dari bubur, berat rantai dari beruk yang ditunjukkan oleh sesetengah ahli Pas apabila berhadapan dengan parti PKR malah PKR sendiri selalu mendabik-dabik dada pula terhadap Pas apabila dilihat pengaruh mereka lebih kuat dari Pas, sedangkan tenaga kerja, sehinggalah menampal postar tetap bergantung kepada Pas.

Saya berpengalaman dalam soal ini ketika Pilihanraya ke 11 yang lalu, apabila menjadi Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) dalam menghadapi pilihanraya dan ini berulang dalam pilihanraya ke 12 dalam kawasan di mana calon PKR bertanding.

Kita dapati semangat dan roh, dasar malah prinsip Pas benar-benar susut. Ahli-ahli Pas seperti menjadi ahli baru KeAdilan. Mereka berbangga.

Kita menyebut ini bukan bermaksud menghulur pisau untuk mencantas tali hubungan dan meretak Pakatan Rakyat. Tetapi kita mesti ingat, bagi mereka yang beragama Islam, yang belajar sedikit sebanyak asas agama, apabila memasuki parti, mereka pasti memahami dasar perjuangan, dasar partinya dan itulah pasak pegangan politiknya.

Manakala soal menyokong pakatan untuk menafikan 2/3 majoriti BN soal lain, tetapi bukan menggadaikan dasar dan aqidah politik dari sudut agama yang dipegangnya.
Ini soal “ Roditu Islama Dinna!” atau "Kami redo Islam itu agama kami!” Ini bererti jika dalam soal lain, kita sokong menumbangkan BN tetapi dalam masa yang sama kita tidak rela gadaikan Islam.

Inilah soalnya dan inilah yang diperingat oleh Presiden Pas.

Tetapi malang, sebahagian besar pengikut Pas, malah sesetengah dari kalangan pemimpin Pas sendiri sudah terikut-ikut, terbawa-bawa malah sampai menjadikan Penasihat Parti Keadilan sebagai ‘anak angkat’ dan bukan mustahil sebagai ‘anak emas’ pula.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku Mursyid Am kelihatan lebih berat condongnya, lebih tebal fanatiknya terhadap Presiden Parti Keadilan walaupun tidak merestui 100% dasar perjuangan Parti PKR.

Tetapi Tuan Guru lupa, menyokong berlebihan, mengeluar kenyataan yang hebat-hebat sama dengan menyokong dasar perjuangan Anwar Ibrahim. Ini bukan soal kebenaran Dato' Seri Anwar dalam menghadapi fitnah, tetapi ini soal kebenaran dasar parti.

Kenapa membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur Mustafa Ali dan menegaskan Mustafa, sama ada sebagai penganalisis politik atau Pengarah Strategi Pilihanraya adalah sama. Jika teguran ini benar, benarlah juga apabila kita memberi sokongan berlebihan kepada Anwar, bererti juga kita membenar dasar PKR.

Ini kesilapan kita. Ini tarbiah yang tidak disedari oleh Syura Pas ketika berhadapan dengan kebangkitan pengaruh Anwar, sehingga ahli-ahli Pas sudah jadi anak ayam lupa kepada ibunya lalu suka sangat kepada bapa itik.

Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah pada 17 Ramadan bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.

Jika trend dan kecenderungan ini berlarutan, ditakdirkan pula PKR menerajui pemerintahan negara, saya sangat kuatir anak-anak muda malah ahli-ahli Pas sendiri yang kini sudah mulai menggilai Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berbondong-bongdong mengangkat bungkus minta dibenarkan mengemis di serambi rumah KeAdilan.

Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira.

Contoh yang paling mudah:
Bagaimana mahu menarik anak muda supaya cenderung kepada pakaian jubah dari memakai kot? Kacaknya Anwar Ibrahim kerana tidak memakai jubah dan selekehnya bukan Anwar kerana serban dan jubah.

Kecenderungan kepada Anwar bukan kerana dasar partinya 100% tetapi kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana simpati, ketokohan, berpidato yang tidak menjemukan. Apakah kerana pengaruh ini Pas tidak dapat mengawasi ahli-ahlinya dan jika mengawasi, dengan cara yang bagaimana?

-- Azizi Hj Abdullah

5 comments

8431 said...

Semoga tuan/ pemabaca keluarga dan keturunan bahagia dunia dan akhirat.

"Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira."
-- Aziz Hj. Abdullah--

sedikit pandangan:
dulu semasa mula melayu berpecah dua; kapal layar dan bulan; pengikut/ penyokong nak pergi mana?

yang tak puas hati, yang islamic, yang memang tabiat membangkang pergilah ke bulan.

sekarang, yang suka pada kebendaan, keduaniaan dan populariti ada pilhan lain; kapal mata datang, kapal ini ada yang mereka inginkan, mereka pun atas dasar perpaduan dan mencari 2/3 - tak fikir islamic dah - ikut cara kapal mata walaupun masih berharap/ menuju ke bulan..

kesian dan simpati lah yang tinggal pada orang-orang tua bulan. Nak marah takut kena boikot, takut tak tercapai 2/3, jadi tutup mulut dan berdoa sahaja lah..

jangan menghampiri zina ..
kanun ini membawa erti [termasuk]
"menyiapkan tempat orang bertemu janji dan kemudian berzina" kata salah seorang orang tua bulan zaman 80/90 an dulu..

sekarang kapal bulan bawa anak-anak kapalnya [menyediakan mereka untuk belayar] kemudian dah jadi pakar pelayar datang kapal mata mudahlah mereka mengikutnya.

masih tidak terlambat jika boleh bertenang dan sanggup memikul tanggungjawab, sanggup meletakkan kebenaran ditempatnya, memelihara cara kebeneran ditegakkan dan harap dan tumpu pada Pencipta.

8431 said...

luahan hati aziz hj. abdullah sangat dihargai.

walaupun rasanya pahit dan menelannya pedih namun kebenaran [cahaya] akan terus menyinari kegelapan dan kebathilan.

jika banyak lagi yang mempunyai sifat tanggungjawab seperti ini nescaya terpancarlah cahaya iman dan hidayah untuk ummat ini.

semuga jiwa yang resah itu dikategorikan sebagi jihad.. dan diterima..

Mike said...

Ya lah, saudara ingat sdra lebih bijak daripada TGNA. Syabas!

Saya rasa kalau tak masuk PR, Pas mungkin dapat 2 kerusi parliament saja. Sampai kiamat pun sdra tak akan berjaya. Dah ada ahli pun nak kutuk ahli.

Bagi saya, Islam tak boleh di pakai dalam nama parti politik. Kalau orang Melayu menghayati Islam, dah lama negara kita diperintah oleh Islam, ia itu Raja Melayu Islam kita.

Umno/BN dah terlampau korup, jadi kita perlu ada penukaran kerajaan baru. Sdra tak mahu itu berlaku? Sdra kroni umno?

Kerajaan baru, semangat baru ( tengok Lim Guan Eng, baik dia ke baik Najib). Dia nak juga ikut Caliph Omar. Kalau kerajaan baru nak cuba curi harta rakyat, pembangkang boleh hjdu sebsb mereka mahir dalam bab ini. Jadi baik lah untuk rakyat.

Saya banyak kawan Cina, jadi saya tahu orang Pas pun ada korup. Dunia brader, dunya! Selagi nafsu terhadap dunia (materialism), Syaitan akan jadi penasihat.

Saya baru masuk Islam dua tahun,tapi belum register dgn Pusat Islam. Tapi saya nampak orang Melayu, Islam nya tahap rituals saja. Hatinya belum Islam, masih cinta dunia. Pada suatu petang 3 bulan lepas, saya pergi surau jam 6 petang sebab nak zikir, takde orang lagi. Dlm pukul 7pm, Imam dan 2 orang lagi sampai. Saya dengar Imam dok bagitahu ada tanah2 boleh apply etc, etc. Sepatutnya, the local Imam mestilah orang yang benar2 Islam dan dapat bimbing orang local dari segi agama saja. Bab tanah tu biar orang politik yg cakap.

Nik Aziz has a lot of wisdom that you dont have. Bila orang Islam pakat (janji) dan orang bagi depa banyak kerusi parlimen, jangan pula main belakang senyap2, ingat dah banyak kerusi boleh negotiate dgn Umno. Ini sifat orang Islam ke, buat malu orang Islam je. Saya kena kutuk kiri-kanan kerana masuk Islam. Saya jawab ini nafsu orang dunia, bukan Islam.

Sekurang2nya, dalam PR, Pas ada suara, lebih baik dari govt sekarang, bukan kah bagitu. Lepas tu ajar orang Melayu Islam sabenar, baru lah elok sikit Malaysia ni. Islam orang Pas ni (selain TGNA dan orang2 saperti beliau) macam Islam orang Pas je, dok sibuk jadi pencegah maksiat. Islam depa setakat tu je. Sebab tu saya tak register, nanti depa kata saya songsang.

Yang saya belajar dalam Islam:-

-Membersih Hati
-Mengenal Diri
-Mengenal Rasul
-Mengenal Allah
-Memperbaiki Sembahyang

Alhamdulillah, saya dapat seorang guru Melayu Islam yang sempurna segala2nya.

Dalam keadaan kerajaan Umno sekarang, lebih baik kita dijajah British, kurang corrupt. Pakatan Rakyat is trying to do something good. Pas should assist actively, not talk about your Hudud etc, to have a more Islamic governance, not curi harta rakyat. Step by step lah brother, kau orang pun belum kenal Tuhan lagi.

Another thing I learn from Melayu Islam ialah:-

"Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah; manusia dapat bezakan Hak dia dengan Hak orang, binatang tak boleh".

Berapa ramai Melayu yang boleh kita panggil manusia yang ada sekarang, selain Tok Guru Nik Aziz. Kebanyaka n mereka tidak ada aktif dalam politik dan low profile.

wanpaiye said...

dalam islam perlunya parti...itu sunnah rasulullah s.a.w. yg dituntut. sape kate parti parti,islam islam.parti dan islam mesti wujud bersama.islam itu syumul.islam lengkap segalanya.tuntut la ilmu.hayatilah al-quran dan hadis ya encik...

wanpaiye said...

satu lagi, awk sudah memeluk islam alhamdulillah.pintu hati kamu sudah terbuka.baik awk daftar di jab.agama islam.nti mudah nak di selesai kan jenazah kamu bila mati nti.ni syariat kene ikut juga.undang2 mendisplinkan manusia.itu salah satu bezanya manusia dan haiwan.

Powered by Blogger.