hamid sound lagi

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang seolah-olah menjadi jurucakap pembangkang dan mencampuri urusan kementerian lain adalah tidak betul.

"Apa yang beliau lakukan adalah tidak betul, saya harap beliau tahu apa tugas beliau.

"Jangan masuk campur hal orang lain... itu bukan kerja dia (Murugiah).

"Kalau ada apa-apa sila bawa (kemukakan) kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan kakitangan Jabatan Imigresen dan anak yatim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Murugiah pada Isnin lepas yang mengarahkan pegawai Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapatkan maklumat terperinci mengenai menu dan peruntukan makanan bagi seseorang tahanan dalam lokap dalam sehari.

Sebelum itu, Murugiah mengadakan pertemuan dengan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok berhubung dakwaan Exco itu yang hanya diberikan dua biji telur rebus, timun dan kuah semasa ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). BPA terletak di bawah tanggungjawab Murugiah.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad berkata, isu makanan ketika ditahan di bawah ISA yang dibangkitkan oleh Teresa bertujuan untuk menyalahkan kerajaan dan meraih simpati masyarakat.

Ketua Puteri Umno itu berkata, sebenarnya perkara remeh itu tidak perlu dibangkitkan dan Teresa perlu insaf di samping berhenti memainkan isu berkenaan.

Katanya, kekuatan dan kesejahteraan serta perpaduan antara kaum adalah perkara yang lebih penting yang perlu dipelihara, daripada membuat kenyataan sedemikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di Masjid Salahuddin Al Ayubi Taman Melati, Kuala Lumpur. BERNAMA

1 comment

Gelombang Rakyat said...

Depa ni keliru di antara keputusan kolektif dan bidang kuasa masing-masing.

Namun apalah yang dimarahkan sangat, siapa senior, jumpalah cakap elok-elok.

Kan dah buruk rupanya...

Powered by Blogger.