Anwar yakin satukan parti utama pembangkang Sabah, Sarawak hadapi pilihanraya



KOTA KINABALU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat menyatukan semua parti utama dalam barisan pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan seorang calon sahaja menentang calon Barisan Nasional (BN) di setiap kawasan pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya formula seumpama itu, yang diilhamkan oleh PKR, DAP dan Pas di semenanjung, ternyata telah membawa kejayaan yang besar kepada pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum lepas.

"Di Sabah dan Sarawak, memang ada calon (daripada pakatan) yang bersaing sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan undi untuk parti pembangkang.

"Inilah yang kita mahu elakkan," katanya selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat untuk kawasan Kota Kinabalu di Jalan Damai, Luyang dekat sini hari ini.

Menjawab soalan, Anwar berkata usaha mempelawa Parti Maju Sabah (SAPP), yang keluar daripada BN baru-baru ini, untuk menyertai Pakatan Rakyat sedang dibuat dan mengesahkan yang beliau sudah menemui presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hari ini.

"Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh Pakatan Rakyat di semenanjung pada pilihanraya Mac lepas," katanya.

Mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil parlimen Pensiangan, Anwar berkata sekiranya pilihanraya kecil itu diadakan, PKR akan tetap meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi itu. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.