sekarang janji bukan perkara yang tidak boleh diubah


Dulu tiada pilihan selain akur cakap ketua

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan mungkir janji untuk mematuhi pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun depan berikutan keputusannya bertanding menentang Tan Sri Rafidah Aziz.

Naib Ketua pergerakan itu menjelaskan pengumuman Rafidah mengenai pelan peralihan di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Ogos lalu menyebabkan beliau tiada pilihan kecuali menerimanya.

"Saya tiada pilihan ketika itu kerana sebagai ahli parti dan perlu saya dengar apa kata ketua.

"Saya bersetuju kerana mendapati ada niat baik di sebalik pelan berkenaan, iaitu untuk menentukan pelan peralihan kuasa Presiden dan Timbalan Presiden lancar, tidak ada pertandingan Ketua dan Naib Ketua Wanita serta mengeratkan perpaduan ahli.

"Bagaimanapun, selepas diteliti, saya dapati niat baik pelan peralihan itu serta janji saya hanya dapat ditepati jika ia dilaksanakan pada Mac, bukan Jun depan," katanya ketika dihubungi semalam.

Rafidah yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar semalam menyuarakan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa dipertikai dan ditolak lebih tiga bulan selepas mengumumkannya.

Katanya, Shahrizat sama ada antara empat mata dalam Exco atau sidang media berkali-kali menegaskan tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan patuh kepada pelan peralihan.

Beliau berkata, Shahrizat (ketika itu) patuh kepada nasihat pemimpin besar parti, bahkan menyatakan 'kata akan dikotakan' atau my word is my honour.

Shahrizat juga menjelaskan pengumuman Rafidah itu hanya dapat dilaksanakan jika mendapat persetujuan Wanita Umno bahagian, tetapi keadaan berubah apabila akar umbi tidak mematuhi pelan peralihan, sebaliknya membuat keputusan sendiri apabila beliau memperoleh 73 pencalonan, manakala 117 pencalonan untuk Rafidah.

Katanya, mesyuarat Exco Wanita minggu lalu memberi isyarat jelas hasrat untuk mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac supaya diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri tidak akan menjadi kenyataan.

"Selepas mesyuarat Exco itu, didapati sukar untuk saya mendapat keyakinan pemimpin pergerakan lain untuk mempercepatkan pelan peralihan walaupun pada asasnya keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang muktamad, malah tidak sama sekali mencapai kata sebulat suara," katanya.

Mengenai keputusan Rafidah mempertahankan jawatannya, Shahrizat berkata beliau menghormati keputusan ketuanya dan berharap pertandingan satu lawan satu itu akan berlangsung dalam suasana berhemah.

No comments

Powered by Blogger.