Saya bukan dalang kemelut Khusrin dilantik SUK, kata Ramli

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Bekas Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Ramli Mahmud menegaskan, beliau bukan “dalang” dalam isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai penggantinya, yang kini bertukar menjadi krisis perlembagaan.

Sebaliknya Ramli berkata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sepatutnya tahu bahawa Sultan Selangor sudah perkenan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah Ramli mendakwa beliau juga berpandangan bahawa Menteri Besar sedia menyedari pelantikan Khusrin dengan mendapat perkenan Sultan Selangor.

“JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) serah tiga nama kepada Sultan Selangor dan baginda perkenan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya dapat surat daripada Istana mengatakan Sultan Selangor perkenan Datuk Khusrin dan meminta saya memaklumkannya kepada JPA.

“Saya tanya ada salinan atau tidak, saya terima surat itu dan Menteri Besar juga terima surat itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ramli juga mengakui beliau tidak memaklumkan pelantikan Khusrin kepada Khalid kerana difahamkan pejabat Sultan Selangor sudah menghantar salinan surat berhubung perkara itu kepada Menteri Besar.

“(Oleh itu) saya tidak maklumkan kepada Menteri Besar sebab saya ingat beliau sudah tahu (pelantikan Khusrin). Kalau Menteri Besar tidak tahu mengenai perkara itu, saya tidak tahu (soal itu), sepatutnya beliau tahu.

“Ikut asal saya hantar lapan nama kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor termasuk Khusrin, jadi saya ingat perkara itu sudah dipersetujui.

“Saya hanya lakukan kerja saya, bila Sultan Selangor perkenan, maka saya maklumkan kepada JPA,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negerinya telah “disabotaj” dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan tidak diberikan maklumat tepat.

Khalid berkata berdasarkan maklumat diperoleh beliau, Ramli sedia mengetahui yang nama Khusrin sudah pun dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan ia telah menerima perkenan oleh baginda.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak dimaklumkan kepada Khalid sehingga Menteri Besar itu terkejut dengan makluman pelantikan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember.

“Pada mesyuarat Exco 16 Disember 2010, Menteri Besar memaklumkan mesyuarat Exco bahawa tiga nama sudah pun dipilih oleh jawatankuasa pemilihan, malah telah mendapatkan pandangan pandangan Exco mengenai pilihan itu.

“Pada mesyuarat yang sama, Menteri Besar memberitahu bahawa ketiga-tiga nama itu akan dikemukakan kepada Sultan Selangor untuk perkenan pada 17 Disember (keesokan hari).

“Tetapi, mengikut maklumat yang saya terima, Setiausaha Sulit Sultan Selangor menulis kepada Datuk Ramli pada 10 Disember menjawab surat Datuk Ramli bertarikh 3 Disember bahawa calon nombor satu iaitu Datuk Khusrin, yang dipersembahkan, telah diberi perkenan oleh Sultan Selangor,” kata Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata pada mesyuarat Exco 16 Disember, Menteri Besar memaklumkan bahawa beliau akan bercuti mulai 20 hingga 30 Disember dan sebarang pelantikan hanya perlu diumumkan selepas beliau kembali daripada bercuti.

Maklumat itu difahamkan didedahkan ketika taklimat kepada wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor Selasa lalu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor juga mendedahkan siri langkah yang membawa kepada pelantikan Khusrin termasuk surat bertarikh 3 Disember.

Menurut Khalid, Ramli yang bersara akhir bulan lalu dan digantikan oleh Khusrin telah mengemukakan tiga nama kepada perhatian istana menerusi surat bertarikh 3 Disember.

Pada tarikh yang sama jawatankuasa pemilihan telah memilih tiga nama daripada lapan calon yang disenaraikan.

Semalam Khusrin telah mengangkat sumpah di hadapan Sultah Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun Menteri Besar dan Exco tetap tidak mengiktiraf Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

No comments

Powered by Blogger.