Pertandingan tiga penjuru akan bunuh Pakatan



Radzi Razak

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian mengatakan pembangkang akan terpecah undi orang Melayu dalam pertandingan pelbagai penjuru yang boleh menghancurkan impian mereka mahu menakluk Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Oktober, 2017.

PERTANDINGAN tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan lebih memberikan kesan buruk kepada PKR dan PAS berbanding DAP, kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Ini kerana pertembungan tiga penjuru itu akan memecahkan sokongan pengundi Melayu — yang meliputi lebih 60% jumlah pengundi negara ini, katanya.

Jelas Ibrahim, semasa pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat ketika itu dapat menarik hampir 40% undi Melayu manakala bakinya pergi kepada Umno.

"Tetapi selepas PAS keluar, sukar untuk dilihat sama ada Bersatu dan Amanah boleh beri undi kepada mereka,” katanya.

Ibrahim bercakap sebagai panel pada forum “Pertandingan pelbagai penjuru - bencana atau rahmat" anjuran Merdeka Center dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Kuala Lumpur, hari ini.

PKR dan PAS merupakan komponen utama gabungan pembangkang yang menentang dominasi Umno di kerusi majoriti Melayu pada dua PRU sebelum ini.

Satu lagi ahli Pakatan Rakyat, DAP pula lebih banyak bertanding di kerusi majoriti Cina.

Menurut Ibrahim, sokongan Melayu kepada PAS dalam PRU13 merupakan paling tinggi dalam gabungan pembangkang dengan 44.34% diikuti PKR dengan 34.13% manakala DAP hanya mendapat sokongan 24.01%.

Menjelaskan lanjut, Ibrahim berkata PKR sebagai satu parti berbilang kaum tidak pernah mendapat sokongan besar masyarakat Melayu sejak ditubuhkan dengan hanya meraih 30 % sokongan undi Melayu dalam pencapaian terbaik mereka pasca PRU2008 dan 2013 di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Sementara itu kemunculan PAS yang berhasrat bertanding di kerusi-kerusi PKR pula akan memberi kelebihan kepada lawan mereka Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana bakal memecahkan lagi undi orang Melayu kepada mereka.

“Satu-satunya parti yang tidak terkesan ialah DAP. Ia masih mampu menang lebih kurang 30 kerusi.

“Apa yang boleh disimpulkan ialah jika keadaan berterusan, pertandingan dua penjuru akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan sebaliknya tiga penjuru akan membunuh Pakatan Harapan,” kata beliau.

Pada PRU13, Umno memenangi 109 dari keseluruhan 133 kerusi BN sementara PKR hanya memenangi 30 kerusi.

PAS pula menang di 21 kerusi dan parti Pakatan paling berjaya, DAP mendapat 38 kerusi, sebahagian besar di kawasan majoriti kaum Cina.

Dua parti baru Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan tahun lalu iaitu Amanah dan Bersatu dilihat masih tidak mempunyai pengaruh akar umbi seperti PAS.

Sementara itu, seorang lagi panel Ketua Pusat Kajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Dr Faisal S. Hazis berkata salah satu kelebihan kepada gabungan pembangkang, dalam satu pilihan raya yang tidak adil dan berat kepada kerajaan ialah perlawanan satu lawan satu.

Beliau berkata terdapat 80 kerusi marginal, dengan 30 daripadanya sudah berada di tangan pembangkang yang boleh menjadi penentu sekiranya terjadi perlawanan satu lawan satu.

Sebaliknya PKR sendiri bakal kehilangan 14 atau 50% kerusi yang dimenangi mereka sekiranya terdapat pemecahan undi kepada pembangkang di negara ini.

“Pertandingan pelbagai penjuru ini baik untuk demokrasi tapi sukar kepada pembangkang,” kata beliau.

Bagaimanapun Faisal turut berkata parti pembangkang baru seperti Bersatu perlu terus memastikan kehadiran mereka dikenali dan diterima pengundi bagi menterjemahkan undi kepada pembangkang.

“Kejatuhan Pakatan Rakyat (sebelum ini) mungkin memberi kesan buruk terhadap peluang liberalisasi menerusi sistem pilihan raya ini.

“Pembangkang perlu melabur untuk membina parti dan mendaftar pengundi baru. Bukan hanya pengundi muda. Tapi orang dewasa yang masih belum berdaftar,” kata beliau.

Isu tiga penjuru timbul selepas PAS, yang sebelum ini menjadi rakan PKR dan DAP dalam PH mengumumkan untuk bertanding lebih 100 kerusi dalam PRU akan datang.

Walaupun dianggap sebagai parti tempatan dengan sokongan terhadap dan terpusat di Pantai Timur, mereka dilihat mampu berperanan sebagai “kingmaker” dalam pertembungan antara PH dan BN.

Pensyarah Sekolah Kajian Antarabangsa Rajaratnam Johan Sivanamuttu pula berpendapat kehadiran PAS sebagai blok ketiga boleh berlaku pada masa dan keadaan yang tepat dan sesuai.

“Kita ini boleh berspekulasi. Jika PAS bertindak sebagai sebuah parti politik, maksudnya boleb berunding dengan pihak lain, ia mungkin boleh diambil perhatian,” kata beliau ketika ditemui selepas forum di Kampus Universiti Notthingham Kuala Lumpur itu.

Johan menyatakan kemungkinan pertembungan antara beberapa gabungan parti politik ini boleh memperlihatkan “post electoral coalition” (gabungan pasca pilihan raya) yang telah menjadi norma di negara maju di Eropah apabila parti individu bergabung membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya.

“Ia sudah berlaku di peringkat negeri di Malaysia. Contohnya di Selangor, ada PAS dan PKR. Ia boleh berlaku di peringkat nasional selepas ini,” kata beliau. – 7 Oktober, 2017.

No comments

Powered by Blogger.