RESPON KEPADA TEAM KOMUNIKASI TOKPA
RESPON KEPADA TEAM KOMUNIKASI TOKPA
Oleh : Nazman Che Iberahim, Ketua Penerangan DPPNK
1. UMNO kata : Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Fadhli Shaari telah mengeluarkan kenyataan memperbetulkan kenyataan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berhubung pembangunan ekonomi Kelantan.
Kita Jawab
Anak anak muda negeri ini menyokong kenyataan Ybrs Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari bin Shaari yang menjawab isu TokPa katakan PAS Kelantan tidak bersyahwat kelmarin.
2. UMNO kata : Pertama, Ustaz Fadhli menimbulkan soal KDNK Kelantan berkembang pada kadar yang lebih pesat 4.8% berbanding peringkat nasional yang purata sekitar 4.2%. KDNK ini perlu dilihat dengan mengambilkira asas yang rendah (low base), peningkatan nominal yang sedikit pun akan menghasilkan kadar pertumbuhan dari segi peratus yang besar. Ini ekonomi, bukannya politik.
Kita jawab
Soal KDNK dan pertumbuhannya memang menjadi satu tanda aras bahawa negeri ini sedang diurus dengan baik oleh Kerajaan PAS Kelantan. 4.8% menjadi satu angka yang telah mengecewakan UMNO di saat mereka sedang berkira kira untuk menawan Kelantan. Hujah mereka cukup mudah sekiranya Kelantan berada pada kedudukan tercorot seperti Pahang, maka akan disyarah dikhutbah seantero negeri bahawa PAS gagal membangunkan ekonomi negeri.
Tetapi sebaliknya berlaku. Usahlah UMNO mendabik dada dengan mengatakan KDNK ini tumbuh pesat disebabkan oleh kakitangan kerajaan pusat yang bertugas di negeri ini dan telah menjayakan angka berkenaan dengan segala pelaburan dan pinjaman untuk pembinaan dan pembelian aset hartanah. Adakah UMNO lupa bahawa anak negeri Kelantan yang bertugas di negeri lain sebagai kakitangan agensi dan jabatan kerajaan persekutuan juga menyumbang kepada perkara yang sama? Bersikap adillah dalam berhujah duhai UMNO.
3. UMNO kata : Kedua, sekiranya diamati dengan teliti, sumbangan KDNK Kelantan kepada KDNK nasional hanyalah sekitar 1.9% sahaja. Apa yang lebih membimbangkan adalah KDNK per kapita (purata pendapatan) rakyat Kelantan sekadar RM12,812 sebenarnya tidak sampai 1/3 KDNK per kapita rakyat Malaysia yang berjumlah RM38,887. Ini malangnya membuktikan ekonomi Kelantan masih lagi terkebelakang.
Kita jawab
Ini berkaitan sumbangan rakyat negeri ini kepada perkembangan ekonomi nasional. Walaupun sekadar 1.9% sahaja ia membantu di peringkat nasional, namun ia tetap merupakan satu nilai. Dan sekiranya UMNO bimbangkan purata pendapatan rakyat Kelantan yang senilai RM12,812 sahaja berbanding KDNK per kapita rakyat Malaysia iaitu RM38,887, maka ia perlu dilihat secara seimbang dan berkadar langsung dengan kos sara hidup dan perbelanjaan rakyat negeri ini. Negeri kami mungkin tidak sekaya negeri lain, walaupun miliki petroleum dan gas asli, tetapi royalti telahpun kalian nafikan. Meskipun demikian, poket rakyat negeri ini tebal dan ekonominya kukuh. Jika tidak, pelabur pelabur besar tidaklah menggila berlari ke Kelantan membuka mall dan gedung gedung besar. Atau apa lagi UMNO mahu katakan?
4. UMNO kata :Adakah fakta ini sengaja disembunyikan Ustaz Fadhli atau beliau sememangnya tidak mengetahuinya?
Kita jawab
Tiada fakta yang disembunyi. Malahan UMNO sendiri buta akan fakta yang dikeluarkan oleh agensi dan jabatan mereka. Contohnya apabila TokPa mengatakan PAS telah gagal memerintah Kelantan sehingga rakyatnya terpaksa keluar dan berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki. Sedangkan dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2016, Wilayah Persekutuan mencatatkan migrasi bersih dengan angka keluar tertinggi dengan angka 37,700 orang diikuti Perak seramai 9,800 orang dan Pahang seramai 3,200 orang. Nah! Di mana Kelantan pula wahai UMNO? Kelantan menjadi negeri penerima migrasi bersih dengan jumlah kemasukan rakyat negeri lain ke Tanah Serendah Sekebun Bunga seramai 1,600 orang pada tahun lepas. Macam mana UMNO?
5. UMNO kata :Ketiga, meskipun sumbangan Kelantan terhadap KDNK Nasional agak kecil, namun Kelantan terus menjadi antara penerima peruntukan terbesar dalam Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM12.9 bilion. Tatkala Kerajaan Negeri PAS sekadar mampu meletakkan batu asas dan terus menuduh Kelantan dianaktirikan, Kerajaan Pusat komited membantu melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kelantan.
Kita jawab
UMNO selalu mengungkit ungkit peruntukan yang diberikan kepada rakyat negeri ini. Mengapa? Adakah rakyat Kelantan tidak pernah membayar apa apa cukai kepada kerajaan persekutuan? Adakah rakyat negeri ini terlepas daripada GST? Kenapa perlu diungkit segalanya sedangkan Kelantan dan rakyatnya menjadi antara denyut nadi yang menghidupkan ekonomi negara ini? Menjadi pembayar cukai yang tegar sejak merdekanya tanahair. Bahkan, PAS Kelantan yang ditinggalkan oleh UMNO di negeri ini dengan hutang sejumlah RM718 juta sewaktu menang PRU 1990, sedikitpun tidak bising dan geger. Malahan berdikit dikit, berjimat cermat dan berjaya membayar hutang yang UMNO tinggalkan itu. Lupakah UMNO? Malahan UMNO di Terengganu juga meninggalkan kredit sebanyak RM726 juta sewaktu PAS mula memerintah pada tahun 1999 dan di Kedah pula UMNO meninggalkan bebanan hutang kepada Almarhum Ustaz Azizan selaku Menteri Besar sebanyak RM2.09 billion pada tahun 2008! Lupakah UMNO?
6. UMNO kata :Keempat, beliau mempersoalkan samada Kerajaan Pusat tidak malu apabila Kerajaan Negeri turut sama menjayakan projek pembinaan lebuhraya. Lebih elok kalau beliau bertanya kepada Kerajaan Negeri PAS apakah mereka tidak malu apabila masalah bekalan air bersih membelenggu 1.6 juta penduduk Kelantan berlarutan berpuluh tahun gagal ditangani sehingga Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan dan memperuntukkan RM2 bilion untuk menyelesaikan kemelut ini?
Kita jawab
Masalah bekalan air di Kelantan adalah antara dosa besar UMNO apabila membatalkan Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) pada tahun 1992. Mengapa projek ini dibatalkan? Adakah kerana rakyat Kelantan telah memilih PAS sebagai kerajaan pada tahun 1990, maka pembatalan projek ini menjadi seakan akan satu hukuman buat kami? Dan mengapa sejak 1990 hingga 2003 Kelantan langsung tidak dibantu oleh Persekutuan dalam soal pembangunan bekalan air?
Kenapa 13 tahun Kelantan dianaktirikan, disisihkan? Dan dana yang turun selepas itu juga, berbentuk pinjaman sahaja sedangkan negeri negeri lain yang diperintah UMNO ianya berbentuk geran? Ini diskriminasi busuk UMNO terhadap Kelantan sejak sekian lama. Apa yang kita harapkan, perjanjian Migrasi yang ditandatangani pada 14 September tahun lalu akan mampu mengubat semula calar dan kudis yang UMNO tinggalkan dalam aspek pengurusan bekalan air di negeri ini.
7. UMNO kata lagi : Seterusnya, apakah Ustaz Fadhli tidak tahu Kerajaan Pusat berterusan menjalankan amanahnya dengan menyalurkan hampir RM60 juta tahun pada lalu untuk menampung kekurangan akaun mengurus kerana Kerajaan Negeri PAS tidak mampu menyelesaikan komitmen kewangan mereka termasuklah dalam aspek pembayaran gaji Menteri Besar, Ahli Exco, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri.
Kita jawab lagi
Usahlah Team Tokpa mengungkit soal "pemberian" dana bagi kekurangan akaun mengurus itu, kerana ia memang tugas Persekutuan. Sebagai contoh pada tahun 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion yang mana dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain. Lalu, apalah yang UMNO mahu banggakan dengan RM60 juta yang diberikan kepada "rakyat Kelantan" sedangkan *pemberian* RM6000 juta lagi mengalir ke negeri lain yang diperintah UMNO? UMNO mahu bercakap pasal obligasi? Mahu sembang pasal keadilan? Mahu angkat ekor bab konsep federalisme?
8. UMNO lagi berkata: Ustaz juga mungkin lupa, Kerajaan Negeri PAS dengan bangga mengumumkan akan melaksanakan projek perdagangan karbon, tetapi sepi membisu bila sedar syarikat yang terlibat itu langsung tidak pernah mengendalikan projek sedemikian rupa?
Kita jawab lagi
Projek karbon kredit, pemuliharaan hutan, mengekalkan biodiversiti, mengekalkan habitat hidupan liar dan seumpamanya masih menjadi tekad utama kerajaan negeri Kelantan. Malahan Kelantan dalam proses menjadi ahli kepada Governors Climate and Forest (GCF) Task Force bagi menyertai puluhan negeri negeri lain dari seluruh dunia dalam usaha membangunkan pertumbuhan ekonomi hijau serta perencanaan dan tata urus hutan. Kelantan sedang menerajui perubahan ini mengatasi negeri negeri lain yang diperintah UMNO!
9. UMNO akhirnya berkata :Menabur janji dan mengotakan janji itu dua perkara yang Ustaz Fadhli perlu bezakan. Sepanjang 27 memerintah Kelantan, PAS seringkali menggunapakai slogan 'Membangun bersama Islam'. Tetapi hasilnya, rakyat Kelantan sendiri dapat menilai. Agama dijadikan sandaran, janji gagal ditunaikan. Itulah PAS.
Kita jawab untuk akhirnya
Kalau bab menabur janji, PAS jauh terkebelakang berbanding UMNO. Itu menjadi satu kepandaian yang UMNO sahaja miliki. PAS memerintah dengan bajet serendah sekitar 500 juta sahaja setahun. Namun hasilnya rakyat dapat kongsikan bersama secara adil dan menyeluruh. Bahkan tiada negeri lain yang memperuntukkan lebih daripada 20% bajet tahunan untuk pendidikan anak anak seperti Kelantan lakukan. Ini adalah antara kelebihan Kelantan yang memang mahu membangun bersama Islam. Malahan kini merakyatkan pula Membangun Bersama Islam itu. Ia adalah kejayaan manis sebuah pemerintahan PAS selama 27 tahun di Kelantan. Kita bina negeri ini, kita bangunkan gedung dan bangunan tinggi, dan dalam masa yang sama, kita bina akhlak dan kita jagakan moral anak anak muda negeri kita!
Ringkasnya kami jawab sudah respon daripada
Team Komunikasi TokPa
16 Oktober 2017
Kuala Krai 11.24pm
No comments
Post a Comment