Kekuatan PAS pada Kepimpinan ULAMAK



Pertamanya penulis amat berterima kasih kepada Kabus Pagi yang telah menghantar pandangan beliau kepada penulis untuk dikupas.

Tulisan beliau (bagi pandangan penulis, kalau silap, kabus pagi tolong maklum balik) lebih kepada kebimbangan terhadap perkembangan PAS akan datang yang seolah-olah semakin lari dari prinsip perjuangan sebenar.

PAS menyertai kerjasama dalam PAKATAN RAKYAT sebagai satu strategi untuk MENGEMBANGKAN DAKWAH ISLAM. Ini berbeza dengan UMNO yang bergabung dengan komponen dalam BN lebih ke arah untuk memperalatkan parti lain bagi menguatkan kekuasaan terhadap negara.

Sebab itu pernah wakil MCA menyebut kemasukan MCA dalam BN seolah-olah dibonekakan oleh UMNO.

Jadi perlu ada perbezaan antara gabungan UMNO dan kerjasama PR. Sebab PAS selalu menyebut tidak ada niat di hati pemimpin untuk bergabung dengan UMNO. Tetapi lebih ke arah kerjasama untuk memajukan ISLAM. Maksud kerjasama di sini seperti kalau UMNO ingin melakukan persempadanan untuk memperbanyakkan kerusi parlimen orang ISLAM, sudah tentu PAS akan menyokong dalam parlimen bagi mengcukupkan undi 2/3.

Mungkin ada kalangan masyarakat ISLAM yang agak bimbang dengan pendekatan PAS kini seolah-olah lari daripada dasar dan prinsip parti yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias yang terang dan nyata.

Tetapi percayalah, selagi PAS berpegang dengan prinsip Kepimpinan ULAMAK, prinsip PAS pasti akan terus berjalan dan bertahan. Penubuhan Majlis Syura Ulamak sebagai pemegang dasar membuktikan bahawa PAS sebagai gerakan Islam yang utuh akan terus mempertahankan dasar walaupun terdapat segelintir ahli PAS seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan.

Keterbukaan PAS dalam bertindak setakat ini masih belum terkeluar dari landasan ISLAM.

menyentuh kerjasama PAS bersama dengan DAP masih lagi dalam lingkungan yang dibenarkan oleh ISLAM. Ini kerana dalam kerjasama ini, PAS dan DAP (termasuk PKR) bekerjasama untuk menolak kezaliman. Kisah ini sama seperti kerjasama golongan musyrikin sebelum Rasulullah diangkat menjadi nabi untuk menolak kezaliman yang dinamakan sebagai Halful Fudhul. Kisah ini telah diperakui oleh Rasulullah. Bahkan baginda menyebut kalau perkara ini berlaku selepas nubuwwah nescaya baginda akan menyertainya.!

Dalam isu perubahan kuasa, DAP menerima syarat PAS dalam memastikan MP hendaklah bermajoritikan orang Islam. Inilah dia bukti ketegasan kepimpinan Ulamak.

Apa yang penting, ahli PAS perlu sentiasa memberi wala’ kepada pimpinan PAS. Memberi wala’ setiap keputusan PAS dalam memastikan agenda Islam diteruskan. Persoalan muqabalah merupakan antara keputusan Syura Ulamak dalam mengembangkan Islam. Tidak timbul soal pengkhianatan kepada rakan-rakan dalam PAKATAN.

PAS dikenali sebagai parti yang sentiasa teguh pada janji permuafakatan. Pengalaman PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif banyak memperlihatkan PAS sentiasa menjaga hubungan antara rakan-rakan.

Jadi insyaAllah, selagi PAS masih meneruskan agenda kepimpinan Ulamak, selagi itulah kekuatan PAS akan terus utuh dan kukuh berlandas kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

No comments

Powered by Blogger.