Tuan Guru Nik Aziz hadir sidang Dun Kelantan



KOTA BHARU, 23 Okt (Hrkh) - Kehadiran Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ke persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini mengejutkan banyak pihak, memandangkan sejak Ahad lalu beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Iklan




Beliau kelihatan berjalan masuk ke dalam dewan kira-kira jam 9.10 pagi tadi dengan bertongkat selepas persidangan dewan dimulakan.

Menteri Besar juga kelihatan ceria dan memerhati dengan penuh minat perbahasan yang berlaku. Setelah hampir satu jam beliau kelihatan keluar dari dewan.

Setiausaha akhbarnya, Mohd Saiba Yaakub berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz keluar dari dewan kerana masih kurang selesa dengan keadaan lututnya akibat persekitaran dewan yang agak sejuk.

"Menteri Besar kemudian terus masuk ke pejabatnya yang terletak tidak jauh daripada bangunan Dun," katanya di sini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dibenarkan keluar dari wad di HUSM petang semalam. Doktor menasihatkan supaya beliau tidak terlalu banyak kerana masalah di bahagian lututnya.

Beliau dimasukkan ke HUSM bagi mendapat rawatan tempurung lutut sebelah kiri yang sedikit bermasalah.

Mohd Saiba juga berkata, memandangkan keadaan kesihatan Menteri Besar belum pulih sepenuhnya kemungkinan besar pembentangan anggaran Bajet Kelantan 2009 akan diwakilkan kepada Timbalan Menteri Besar Dato' Ahmad Yakob atau anggota Exco, Dato' Husam Musa yang bertanggungjawab ke atas portfolio kewangan.

Sementara itu, difahamkan Menteri Besar dijangka menghadiri satu majlis bersama mufti dari seluruh negara yang kini berada di Kelantan kerana menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-83 malam ini, di sebuah hotel di sini.

No comments

Powered by Blogger.