Mohamad Sabu kecam penangkapan aktivis Jerit - Malaysiakini


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mengecam tindakan menangkap aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang mengambil bahagian dalam kempen berbasikal menuntut perubahan dan menyifatkan polis masih belum keluar dari alam lama apabila begitu rakus mengambil tindakan itu. "Saya setuju dengan kenyataan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam yang menyatakan Malaysia akan menjadi bahan ketawa kerana menangkap rakyat yang berbasikal menuntut perubahan," katanya.

Pihak polis, katanya, masih terperap dan belum keluar dari alam lama yang begitu ghairah menjadikan pembangkang dan aktivis yang membantah kerajaan sebagai sasaran.

"Asyik memburu pembangkang, jenayah berleluasa bukan sahaja tidak ditangani dengan sewajarnya malah Ketua Polis Negara didakwa mengemukan statistik dan data yang meragukan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

"Bila kita kata asyik buru pembangkang dan jenayah tidak dibenteras dengan sewajarnya, polis berdalih pula kononnya tak cukup masa nak banteras jenayah sebab terpaksa bertugas mencegah aktiviti pembangkang.

"Untuk kepentingan siapa perangi aktiviti pembangkang? Aktiviti Umno yang dilihat sarat dengan perkauman dibiarkan," katanya.

Mohamad Sabu yakin, selagi polis tidak keluar dari alam lamanya, negara ini tidak akan aman dari jenayah.

Hampir 100 orang aktivis Jerit yang menyertai kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" telah ditangkap polis semata-mata kerana berbasikal menuntut perubahan di negara ini.

Lebih buruk lagi, seorang aktivis Jerit, Helen Mary Johnson mengadu buah dadanya dicabul oleh polis dalam pergelutan di Kuala Kangsar Selasa lalu.

Tindakan polis itu dilakukan ketika laporan akhbar The Sun menyatakan bahawa ahli-ahli perniagaan Malaysia menyifatkan polis adalah pihak teruk terlibat dengan rasuah di negara.

Sebelum itu, dalam usul untuk memotong gaji Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebanyak RM10, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang mendedahkan Musa terlibat dalam mengeluarkan surat meminta Perdana Menteri meluluskan pelantikan Web Power Sdn Bhd untuk membekalkan sistem komunikasi digital kepada Bukit Aman dan penyewaan 32 helikopter untuk kegunaan polis.

Penasihat DAP itu juga menyifatkan statistik yang dikemukakan oleh Musa yang menunjukkan kadar jenayah di negara ini adalah lebih rendah berbanding Jepun dan Hong Kong sebagai "paling menipu dan tidak dapat diterima".

Sebagai contoh, kata Lim, kes pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk adalah 1.09 kes di Jepun, 0.26 kes di Hong Kong sedangkan di Malaysia 2.12 kes.

Bagi kes rogol bagi setiap 100,000 penduduk pula adalah 1.62 di Jepun, 1.54 di Hong Kong manakala di Malaysia pula setinggi 11.47.

Lebih buruk lagi kes rompakan bagi setiap 100,000 penduduk di mana hanya 4.78 kes di Jepun, 17.56 di Hong Kong dan setinggi 90.49 di Malaysia. - Hrkh

Suhakam: People need better answers

No comments

Powered by Blogger.