Pembangkang; Badan baru lantik hakim tidak bebas


Gobind: Perdana Menteri masih mempunyai kuasa dalam Suruhanjaya Pelantikan Hakim

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dibaca kali pertama oleh Perdana Menteri semalam memerlukan pindaan dan penelitian lebih mendalam, kata pembangkang.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini berkata, rang undang-undang tersebut tidak mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan badan kehakiman negara benar-benar bebas memandangkan Perdana Menteri masih mempunyai kuasa dalam pelantikan hakim.

"Dalam rang undang-undang itu menyatakan yang tujuannya adalah untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan perlunya kepentingan awam diwakili dengan sepatutnya berkenaan dengan perkara-perkara yang berhubungan dengan badan kehakiman, pentadbiran keadilan dan perkara-perkara yang berkaitan.

"Bagaimanapun, keseluruhan skim akta dalam rang undang-undang itu seperti meletakkan suruhanjaya tersebut dalam genggaman Perdana Menteri," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, hal ini dapat dilihat berikutan suruhanjaya tersebut dianggotai Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Malaya dan Sabah dan Sarawak yang kesemuanya dilantik atas nasihat Perdana Perdana Menteri.

"Selain itu, ahli-ahli suruhanjaya tersebut turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik Perdana Menteri dan empat ahli utama yang lain juga dilantik oleh Perdana Menteri.

"Ini menunjukkan sekurang-kurangnya lima daripada sembilan ahli suruhanjaya adalah dilantik terus oleh Perdana Menteri dan empat yang lain adalah mereka yang dicadangkan oleh beliau kepada jawatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, jika mahukan sebuah suruhanjaya yang yang bebas, sekurang-kurangnya seorang daripada ahli suruhanjaya itu dipilih oleh Majlis Peguam atau Persidangan Undang-undang atau badan-badan bebas lain.

Gobind berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya diberi hak untuk memilih hakim yang dimahukannya kerana ini melunturkan semangat kebebasan badan kehakiman daripada genggaman Eksekutif.

Selain itu, kata beliau, selaras dengan Seksyen 7 dalam rang undang-undang tersebut, semua ahli akan mendapat elaun yang akan ditentukan Perdana Menteri.

"Walaupun saya menerima yang ahli-ahli suruhanjaya patut dibayar elaun tetapi saya tidak nampak rasionalnya untuk melibatkan Perdana Menteri dalam hal itu.

"Selain itu, kita juga ada Seksyen 9 yang secara jelas memperuntukkan Perdana Menteri pada bila-bila masa boleh membatalkan pelantikan empat ahli tanpa menyatakan sebab pembatalan.

"Ini jelas menunjukkan peruntukan tersebut memberi Perdana Menteri kuasa mutlak yang lebih daripada ahli-ahli suruhanjaya," katanya.

Beliau berkata, hal itu akan memalukan ahli yang terbabit.

Justeru katanya, urusan pelantikan dan pelucutan jawatan ahli suruhanjaya perlu disertai dengan langkah-langkah perlindungan termasuk persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong atau daripada badan-badan bebas lain.

"Selain itu, kuasa yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk meminda akta tersebut tanpa perlu berunding dengan Parlimen adalah tidak boleh diterima.

"Peruntukan ini tidak boleh dibenarkan dalam rang undang-undang ini kerana ia akan melunturkan konsep kebebasannya dan akan memberi amalan bahaya kepada rang undang-undang akan datang," katanya.

Beliau berkata, Seksyen 27 memperuntukkan kuasa Perdana Menteri untuk meminta cadangan suruhanjaya bagi mengisi jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun katanya, Seksyen 28 menyatakan ia terpulang kepada beliau sama ada mahu menerima atau tidak calon-calon yang dipilih suruhanjaya.

"Semua ini pada saya memperkecilkan kuasa suruhanjaya kerana walaupun calon-calon telah melepasi ujian dan mendapat sokongan daripada semua ahli suruhanjaya, tetapi Perdana Menteri masih mempunyai kuasa 'veto' untuk memilih," katanya.

No comments

Powered by Blogger.