Dua Jalan Ke Putrajaya

Belajar Dari Bukit Gantang

Pilihanraya Kecil Bukit Gantang memberi satu pengajaran penting kepada PAS. Jika ahli-ahli dan pimpinan PAS mahu melihatnya secara matematik. PRK Bukit Gantang adalah satu manifestasi dan prelude kepada apa yang boleh berlaku di 6 buah konstituensi Parlimen yang PAS telah tewas teruk dalam PRU 12 yang lalu.

Di enam konstituensi ini PAS telah tewas dengan perbezaan peratusan undi di antara 30% hingga ke 45% undi. Iaitu majoriti undi diantara 11,500 undi hingga 20,500 undi.

6 konstituensi Parlimen di atas ialah,

* P161 Pulai (Johor)
* P147 Parit Sulong (Johor)
* P143 Pagoh (Johor)
* P127 Jempol (Negeri Sembilan)
* P133 Tampin (Negeri Sembilan)
* P126 Jelebu (Negeri Sembilan)

Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika mengulas analisa undi dari PRK Bukit Gantang di blognya menulis,

“Hanya 15% kaum cina mengundi Barisan Nasional kali ini berbanding 30% pada 2008. Dianggarkan 9, 500 orang pengundi kaum Cina dan 1, 500 orang pengundi kaum India mengundi Pas kali ini. BN hanya menerima 1, 500 dan 500 undi.”

Khir Toyo juga membuat kesimpulan,

“Ini bermakna pengundi bukan Melayu secara jelas masih menolak BN. Beberapa isu yang mungkin menarik undi kaum Cina terhadap YB Nizar termasuklah isu tanah dan juga sokongan simbolik kaum tersebut kepada perjuangan DAP yang sebelum ini menguasai kerajaan negeri Perak.”

Secara lebih komprehensif, analisa yang dibuat oleh Khir Toyo daripada PRK Bukit Gantang ialah,

* PAS menerima lebih kurang 9,500 undi Melayu atau 35% dari jumlah keseluruhan undi Melayu.
* PAS menerima lebih kurang 9,500 undi Cina atau 85% dari jumlah keseluruhan undi Melayu.
* PAS juga menguasai sebahagian besar undi India.

Khir Toyo juga membesar-besarkan kemerosotan undi Melayu yang PAS terima dalam PRK itu berbanding dengan PRU 12. Bagaimanapun YB Dato’ Wan Abdul Rahim, Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga veteran PAS merasakan kemerosotan undi Melayu itu adalah kurang tepat.

Selepas PRU 12, PAS bertanding di dalam 2 pilihanraya kecil Parlimen iaitu di Kuala Terengganu yang mempunyai 11% pengundi cina dan di Bukit Gantang yang mempunyai 27% pengundi cina. PAS berjaya merampas semula Kuala Terengganu dari BN dan mempertahankan Bukit Gantang dengan undi majoriti yang meningkat.

Muhyiddin Yassin Tumpas Di Pagoh

Jika momentum di Bukit Gantang dapat dikekalkan dan sokongan masyarakat bukan Melayu dan terus dipertingkatkan oleh PAS, ia memberi peluang yang cerah untuk PAS merampas 6 konstituensi yang sebelum ini PAS tewas besar.

6 Konstitensi ini ditandingi oleh UMNO bagi pihak BN. Bagaimanapun ke enam-enam konstituensi ini memiliki pecahan pengundi seperti berikut,

* Pulai – Melayu 50.89%. Cina 39.59%. India 9.38%
* Parit Sulong – Melayu 73.97. Cina 26.64. India 0.35%
* Pagoh – Melayu 62.82%. Cina 32.29%. India 4.21%.
* Jempol – Melayu 57.29%. Cina 28.3%. India 13.7%. Lain-lain 0.5%.
* Tampin – Jelebu 60.9%. Cina 25.2%. India 13.3%. Lain-lain 0.7%.
* Jelebu – Melayu 64.24%. Cina 28.27%. India 6.6%. Lain-lain 0.44%.

BN menewaskan PAS di Pulai dengan majoriti sebanyak, 20,449 iaitu jumlah majoriti tewas terbesar bagi PAS di dalam 42 konstituensi Parlimen dimana PAS tewas dalm 2008.

BN mendapat 38,036 undi iaitu lebih 68% dari undi yang dibuang. PAS mendapat 17,587 undi atau 32%.

Sekiranya trend dalam PRK Bukit Gantang diikuti di Pulai iaitu,

* BN mendapat 65% undi Melayu.
* PAS mendapat 85% undi Cina.

Andaian pilihanraya di Pulai dalam pilihanraya akan datang dengan mengambil kira purata 75% keluar mengundi dari setiap kaum adalah seperti berikut,

* 75% daripada 79,622 pemilih keluar mengundi.
* 30,335 pemilih Melayu mengundi.
* 23,648 pemilih Cina mengundi.

BN akan menerima sejumlah lebih kurang 19.718 undi Melayu dan 3,547 undi Cina.

PAS akan menerima sebanyak 10,617 undi Melayu dan 20,101 undi Cina.

Oleh yang demikian, keputusan pilihanraya akan menjadi seperti berikut,

* BN mendapat lebih kurang 25,265 undi.
* PAS 30,718 undi.
* Majoriti 7,453 undi.

Jika trend ini berterusan, PAS bukan sahaja dapat menterbalikan ketewasannya dengan majoriti 20,446 undi itu kepada kemenangan, tetapi juga akan dapat menumpaskan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Pagoh dan beberapa anggota kabinet di konstituensi seperti Jelebu dan Tampin.

Dengan memantapkan komitmen kepada Pakatan Rakyat sahaja PAS akan berpeluang untuk menambahkan kendudukannya di Parlimen. Untuk melakukan ini, PAS perlu berdepan dengan UMNO dan tumpaskan UMNO di,

* 16 konstituensi yang PAS tewas dengan majoriti undi antara 0.9% hingga 19.1% atau 300 undi hingga 5,265 undi. Untuk ini berlaku PAS memerlukan lebih kurang antara 200 ke 3,000 undi di konstituensi-konstituensi tersebut.
* PAS perlu menewaskan UMNO BN di 6 konstituensi yang mempunyai pemilih cina yang tinggi di Negeri Sembilan dan Johor.

Untuk ini berlaku, PAS juga perlu bertapak dengan kukuh di kesemua konstituensi tersebut dengan jentera yang mendapat sokongan padu dari kepimpinan parti. Masa masih ada untuk PAS memantapkan kedudukannya di konstituensi-konstituensi tersebut tetapi bukan masa sahaja yang menjadi faktornya.

Pimpinan PAS Untuk Rakyat Malaysia

Kepimpinan PAS juga perlu agresif. PAS perlu pimpinan yang diterima dan disanjung oleh segenap lapisan masyarakat dan bukan sekadar ahli-ahli PAS sahaja.

Jalan ke Putrajaya akan bermula pada muktamar PAS minggu hadapan. Para perwakilan PAS akan berpeluang memilih satu dari dua jalan ke Putrajaya.

Jalan pertama ialah memantapkan gandingan pucuk pimpinan PAS yang diyakini oleh segenap lapisan masyarakat.

Jalan kedua ialah, memilih jalan pintas ke Putrajaya dengan memilih pimpinan yang akan membawa PAS ke Putrajaya melalui jemputan Barisan Nasional.

Jika PAS memilih jalan pertama, yang tentunya lebih sukar, PAS berpeluang untuk menjadi parti tunjang kepada orang Melayu dan seterusnya memperkasakan Islam seperti yang diingininya.

Tetapi jika PAS memilih jalan pintas, beberapa pemimpin PAS mungkin berpeluang bergelar Menteri sebelum pilihanraya akan datang, tetapi PAS akan selamanya kekal sebagai parti besar tetapi kecil pengaruhnya baik di Parlimen maupun dikalangan penduduk Melayu beragama Islam.

Rakyat Malaysia buat pertama kalinya menaruh begitu tinggi harapan kepada para perwakilan PAS yang akan bersidang dan membuat pilihan mereka.

Ini mungkin kali pertama dan mungkin juga terakhir bagi perwakilan PAS membuat pilihan yang mungkin memberi peluang kepada Presidennya untuk menerajui Kerajaan Malaysia di dalam pilihanraya akan datang.

http://kickdefella.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.