Proton Catat Kerugian Rm338 Juta Dalam Tahun Kewangan 2008/09


KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Proton Holdings Bhd Jumaatmengumumkan kerugian sebelum cukai kumpulan sebanyak RM338 juta bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac, 2009, daripada keuntungan sebelum cukai RM144 juta pada 2008, disebabkan terutamanya kelemahan luar biasa harta, kilang dan kelengkapan (PPE) serta turun nilai inventori.

Pengerusi Proton Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata prestasi kumpulan itu merupakan cerminan kepada keadaan ekonomi global sekarang.

Kelemahan industri automotif akibat daripada krisis kewangan global juga menjejaskan prestasi kumpulan pada separa kedua tahun kewangan itu, katanya.

"Alasan utama bagi kerugian kumpulan adalah disebabkan keputusan Proton bagi kelemahan PPE dan turun nilai inventori bagi model tertentu yang menerima kesan daripada pengurangan kuantiti," kata Nadzmi.

"Selain itu, keputusan bagi separa kedua tahun kewangan juga terjejas akibat daripada pelunasan acuan dan jig serta peningkatan kos komponen dan bahan mentah ekoran kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi, terutamanya yen Jepun dan dolar AS," katanya.

Bagaimanapun, jumlah pendapatan kumpulan Proton meningkat sebanyak RM864.98 juta kepada RM6.49 bilion pada tahun kewangan 2008/09 berbanding RM5.62 bilion pada tahun kewangan FY2007/08.

Kumpulan itu menjual sejumlah 156,845 unit kereta pada tahun kewangan 2008/9 berbanding 139,942 unit tahun lepas, kata Nadzmi.

Menumpukan kepada keputusan suku keempat bagi tahun kewangan semasa, beliau berkata Proton mencatatkan kerugian sebelum cukai kumpulan RM392 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM172 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya (Tahun Kewangan 2007/08).

Kerugian besar bagi suku tersebut disebabkan terutamanya kelemahan luar biasa bagi PPE dan turun nilai inventori berkaitan dengan model tertentu akibat daripada penguncupan kuantiti yang berjumlah RM360 juta.

Pendapatan kumpulan bagi suku keempat turun sebanyak RM315.4 juta kepada RM1.4 bilion bagi suku keempat tahun kewangan 2008/09 berbanding RM1.7 bilion yang dicatatkan semasa tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ini disebabkan unit terjual yang rendah sebanyak 34,490 pada suku terakhir tahun kewangan 2008/09 berbanding 40,903 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Nadzmi berkata penurunan jualan telah menyebabkan Proton menilai semula kuantiti pengeluarannya memandangkan kelembapan ekonomi semasa.

Bagi tahun kewangan ini, Proton dijangka menerima geran penyelidikan dan pembangunan daripada kerajaan berjumlah RM81 juta, seperti yang disediakan oleh Dasar Automotif Negara (NAP).

Pengarah Urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata meskipun kerugian itu, lembaran imbangan kumpulan masih kukuh apabila rizab tunainya berjumlah RM899.5 juta, turun daripada RM1.17 bilion tahun lepas.

"Sebagai syarikat automotof lengkap, kami membelanjakan jumlah yang besar bagi pembangunan model baharu seperti Proton Exora dan Lotus Evora semasa tahun itu. Walaupun ini menjejaskan rizab tunai kami, kami mampu untuk menampungnya apabila kereta-kereta terjual," kata Syed Zainal.

Setakat ini, tempahan bagi model MPV baharu Exora mencecah 11,000 unit, katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.