Belajar Berfikir Sendiri

Apa yang kita dengar itu belum tentu benar. Apa yang kita anggap benar itu belum tentu benar juga bagi orang lain.

Banyak orang bercakap tentang isu perarakan kepala lembu oleh penduduk Seksyen 23 Shah Alam sebagai membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk pula tidak tahu akan kehadiran kepala lembu. Jadi, kepala lembu misterilah gamaknya.

Banyak juga yang bercakap tentang isu pemecatan Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek kerana terlibat dengan skandal seks dua tahun lepas. Perdana Menteri berkata UMNO tidak akan bercampur tangan dalam masalah dalaman MCA. Namun, kenyataan beberapa pemimpin BN seolah-olah “menyalahkan” Ong Tee Keat. Mereka tidak bercampur tangan, tetapi bercampur mulut.

Dan tidak kurang juga yang bercakap tentang kes Kartika yang dijatuhkan hukuman sebat, tetapi penyebatnya tidak ada. Entah sedih atau lucu mendengar kenyataan Menteri Dalam Negeri itu. Jatuh hukum dahulu baru melatih penyebat. Perdana Menteri pula minta Kartika membuat rayuan, tetapi panel rayuan belum dilantik. Sekarang tempoh rayuan sudah tamat. Yang pasti wartawan satu dunia sedang menanti sebatan terhadap Kartika dilakukan supaya mereka dapat menulis berita “memalukan” Malaysia.

Bukan semua yang dicakapkan itu benar. Kita mesti menggunakan ketajaman akal menilai, menghalusi sebelum membuat justifikasi. Malangnya, kita malas berfikir. Kita diajar agar malas menggunakan fikiran. Kita lebih selesa menerima buah mulut orang lain. Memang kita dididik untuk menerima buah mulut orang lain. Tidak salah menerima buah mulut orang lain sekiranya buah mulut itu benar. Yang salahnya apabila kita menerima bulat-bulat buah mulut orang lain tanpa menilainya terlebih dahulu betul salahnya, baik buruknya.

Oleh itu, tidak adil kita selaku pendengar pasif “menjatuhkan hukum” siapa salah dan siapa betul tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Pihak polis telah memohon maaf kerana tidak bertindak pantas terhadap mereka yang berarak kepala lembu. Alasannya ialah pegawai yang ditugaskan di tempat kejadian adalah seorang pegawai junior. Bolehkah kita mempercayainya?

Dalam perhimpunan membantah ISA dan PPSMI pantas pula polis bertindak. Polis datang mendahului peserta perhimpunan.

Polis memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil segera terhadap mereka yang bertanggungjawab menganjurkan protes dan perarakan tersebut. Adakah kita patut mempercayainya bulat-bulat tanpa berfikir? Kita selalu mendengar kenyataan begini. Lazimnya, lenyap begitu sahaja.

Banyak laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, antaranya oleh NGO, ahli majlis, Pemuda PAS, Pemuda PKR dan beberapa individu. Biasanya laporan polis yang dibuat oleh PKR, PAS atau DAP tidak cukup kuat untuk “menggerakkan” anggota polis.

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf berkata kehadiran kepala lembu sewaktu protes membantah pembinaan kuil di kawasan tersebut semalam, masih merupakan satu misteri.

Mereka melakukan siasatan tetapi tidak dapat mengesan orang yang membawanya. Anda tentu tidak percaya bahawa lembu itu datang sendiri dan menggugurkan kepalanya di depan pintu bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor.

Hari ini ada penduduk membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Islam. Mungkin hari esok ada pula penduduk memprotes pembinaan masjid atau surau di kawasan majoriti Hindu. Lusa ada penduduk menolak pembinaan tokong Cina di kawasan majoriti Melayu atau India. Tulat, semua kaum di Malaysia menolak pembinaan pusat ibadat, selain pusat ibadat mereka, di kawasan majoriti kaum mereka. Apa akan terjadi pada hari-hari berikutnya?

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia tidak bergantung pada fikiran orang lain bagi menentukan salah atau betul, baik atau buruk sesuatu perkara. Lihatlah sesuatu perkara dengan mata hati sendiri.
satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.