Ahli Parlimen PAS wakili terima sumbangan RM150,000

Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Prihatin dengan nasib mangsa banjir, AmanahRaya hari ini menyumbangkan sejumlah RM150,000 kepada Majlis Tindakan Bencana Negara untuk disalurkan kepada mangsa di Kelnatan, Terengganu, Perak dan Kedah.

Bertempat di bilik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen pagi tadi, Pengerusi AmanahRaya Datuk Dusuki Ahmad telah menyerahkan cek tersebut kepada Pengerusi Majlis Tindakan Bencana Negara, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sejurus selepas itu, Nazri menyerahkan pula kepada empat ahli parlimen PAS iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Marang), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Nasir Zakaria (Padang Terap) yang mewakili kawasan dan negeri masing-masing yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan disalurkan kepada mangsa banjir dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, pulut, gula,biskut, teh, lampin bayi dan tuala wanita.

Seramai 1,600 keluarga di daerah paling terkesan dan terjejas iaitu Padang Terap dan Pendang di Kedah, Bagan Datoh di Perak, KUala Krai dan Kota Bharu di Kelantan serta Marang di Terengganu.

Sumbangan juga telah diberikan secara berperingkat bermula 26 November sehingga Hari Raya Aidiladha tempoh hari.

Nazri berkata langkah AmanahRaya menghulurkan sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban kesusahan dan kewangan mangsa banjir yang hampir sebahagian besarnya mengalami kerugian harta benda dan terjejas sumber pendapatan.

No comments

Powered by Blogger.